Skip to main content

Mendengar

Diko suka sangat menyampuk setiap kali saya bercakap. Kelihatannya dia memang tidak suka sangat untuk mendengar saya yang sedang bercakap. Belum habis saya bercakap dia cepat memintas dan membalas balik. Ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Di dalam  dewan kuliah pun saya  biasa berdepan dengan segelintir yang tidak suka sangat untuk mendengar. Ada yang memilih untuk berbual-bual di belakang sesama sendiri. Ini memang menyakitkan buat orang yang bercakap. Memanglah mustahil untuk meraih semua orang untuk mendengar apa yang kita cakap. Sebenarnya lebih penting daripada kemahiran bercakap dan berbual-bual adalah kemahiran mendengar itu sendiri. Namun selalunya tidak ramai yang suka memilih untuk mendengar. Ramai yang lebih suka bercakap.

Kajian-kajian yang pernah dibuat juga menunjukkan tidak ada perkaitan antara kemahiran bercakap dengan kemahiran mendengar. Maksudnya semakin kita pandai bercakap tidak semestinya kita pandai mendengar. Malah kajian juga mendapati ramai orang yang pandai bercakap sebenarnya tidak pandai mendengar. Jadi, kalau kita rasa kita seorang yang pandai bercakap, besar kemungkinannya kita seorang yang bodoh mendengar. Oleh itu untuk dilihat sebagai orang yang pandai mendengar, ketika orang lain sedang bercakap, janganlah kita sibuk mencelah. Orang yang bersikap terbuka ialah orang yang sanggup mendengar sahaja orang lain bercakap.

Sebenarnya apabila kita pandai mendengar, lebih mudah bagi kita membuat orang itu berasa suka kepada dirinya sendiri dan sekaligus suka kepada kita sebagai pendengar. Lazimnya orang yang didengar akan menghormati orang yang suka mendengar dia bercakap. Didorong oleh rasa hormat, dia mudah menerima pandangan kita kerana kita sendiri mahu mendengar apa yang diperkatakannya. Perbuatan mendengar adalah satu pengiktirafan yang tinggi nilainya bagi orang yang didengar.

Kalau kita mahu didengari, mendengarlah dan ia tidak sukar pun!

Pena Tumpul - Tidak suka dengar isteri berleter

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...