Skip to main content

Bersih

"Kalau tolong kita pungut sampah lagi bagus"
 Saya dengar kata-kata itu terpacul dari mulut seorang pengutip sampah DBKL yang sedang memerhatikan beberapa orang berbaju kuning lalu lalang di depan mereka. Namun mereka bukan untuk membersihkan sampah. Itu bukan misi mereka. Mereka mahu membersihkan "sesuatu" yang mereka dakwa kotor lalu mereka memilih untuk berjalan-jalan sambil mempamerkan bantahan mereka.

Saya selalu percaya demonstrasi jalanan bukanlah kaedah terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ada jalan penyelesaian yang saya kira lebih baik, lebih sesuai malah lebih bertamadun daripada itu. Meja rundingan boleh dijadikan pentas terbaik untuk melunaskan apa yang terbuku dalam hati Tidak perlulah sampai melibatkan ramai orang yang sebenarnya tidak menyumbang kepada penyelesaian pun. Ia cuma memcetuskan dan menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

Secara peribadi, saya terjejas secara langsung angkara demonstrasi ini. Hampir dua jam saya tersangkut dalam kegawatan trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya dan isteri sampai di ibu negara sekitar jam 11 pagi dan menyaksikan kelompok demi kelompok berbaju kuning mundar mandir di bahu-bahu jalan. Selalunya saya tidak pernah mempunyai masalah untuk sampai ke medan niaga Jalan Masjid India. Isteri berkeinginan sangat tinggi untuk membeli belah di sini, pastinya beberapa pasang kain. Namun perjalanan kami disekat oleh barisan anggota polis yang menutup jalan yang biasa kami lalui. Bagaikan kubu membentengi asakan musuh. Mahu sahaja saya menyalahkan mereka. Namun saya sedar mereka menjalankan tugas yang diamanahkan. Mereka pemelihara keamanan. Lagi pun tindakan mereka adalah reaktif sifatnya. Mereka tidak akan terpacak di situ kalau tiada kumpulan yang ribut-ribut mahu bertindak menggugat ketenangan dan keamanan. Jangan salahkan mereka.

 Hampir dua jam saya berlegar-legar mencari jalan-jalan dan lorong-lorong yang boleh ditembusi. Akhirnya berjaya juga menerobos masuk tempat yang mahu dituju. Namun isteri dibadai rasa kecewa kerana kedai yang biasa dikunjungi banyak yang tutup.

Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap mana-mana pihak pun. Namun saya ada kepentingan yang lebih penting dari itu. Kepentingan dan hak saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, hak saya seorang pengguna jalan raya yang tidak pernah terlepas membayar cukai jalan, hak sebagai manusia untuk berpijak dengan selesa di bumi milikNya.

Kalau sendiri sudah susah jangan pula menyusahkan orang lain. Kalau diri sendiri juga tidak bersih janganlah sebok-sebok hendak membersihkan orang lain.

Bersihkan hati, bersihkan peribadi, itulah agenda utama!

Pena Tumpul - Adakah dajjal sudah lahir?

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...