Skip to main content

Meminta

"Sekiranya meminta, tangan harus berada di bawah"

Adakalanya kita rasa sukar sangat untuk meminta sesuatu dari orang lain sedangkan dalam masa yang sama kita melihat ia cukup senang bila orang lain melakukan perkara yang sama itu. Ketika kita sukar mendapatnya, orang lain senang pula memperolehinya. Pastinya ada sesuatu yang membezakan kita dan orang lain itu.

Petang ini bila Hafiz disuruh oleh atoknya melakukan kerja sekolahnya saya dapat melihat Hafiz enggan melakukannya.Dia memberi pelbagai alasan untuk menolak permintaan atoknya itu.  Atoknya mencuba pelbagai cara, hatta menggertaknya dengan rotan, Hafiz tetap berkeras tidak mahu melakukannya. Atoknya gagal membuat Hafiz mengikut kata-katanya. Dan saya memang selalu melihat dia selalu gagal pun mempengaruhi cucu sulungnya ini.

Selang beberapa ketika, seorang lagi atoknya mendekati Hafiz juga dengan tujuan yang sama. Atoknya yang satu lagi ini tidak membentak apatah lagi meninggi suara berbanding dengan atok yang sebelum ini. Tiada juga kata-kata ugutan. Tiada juga ancaman rotan. Hafiz tidak membantah. Hafiz menurut kata atoknya tanpa banyak soal dan bicara. Saya lihat Hafiz melakukannya dengan rela tanpa paksa. Atoknya yang seorang lagi ini melakukannya dengan mudah..

Saya melihat perbezaan pendekatan kedua-dua atok Hafiz ini. Atok yang mula-mula tadi meminta Hafiz melakukan sesuatu dengan "tangan berada di atas". Dia meminta dengan menggunakan kedudukannya sebagai seorang atok yang perintahnya perlu diikuti dan dipatuhi. Dia mahu Hafiz mengikut perintahnya kerana dia adalah atok dan cucu perlu mematuhinya. Namun ia tidak semestinya begitu. Hanya kerana kita ada kuasa tidak bermakna kita boleh mendapat dengan mudah apa yang kita mahu melalui kuasa yang kita miliki. Tidak juga dengan kuasa kita boleh memaksa orang lain untuk mendengar apa yang kita kata.

Atok Hafiz yang satu lagi lain pendekatannya dalam mendekati cucunya. Justeru itu dia berjaya meminta Hafiz untuk mendengar katanya dan sekaligus melakukan apa yang diminta. Kalau ingin meminta, atas alasan apa sekalipun, biarlah dengan rendah hati. Kalau ingin menyuruh, suruhlah dengan rendah hati juga. Pasti lain hasilnya.

Pena Tumpul - Meminta pada yang sudi

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...