Skip to main content

Mewah

Saya berkesempatan berbuka puasa dengan keluarga petang ini. Hampir semua adik beradik melapangkan diri balik untuk berbuka bersama emak. Sesekali berpeluang berbuka bersama memang menyeronokkan. Emak dilihat gembira bukan kepalang. Emak terjemahkan kegembiraannya itu dengan menyajikan lauk pauk yang memenuhi citarasa hampir setiap orang anak-anaknya, malah cucunya juga.

Sesekali berkumpul begini saya cadangkan kepada emak untuk makan bersila di lantai sahaja. Bukan luar biasa kalau juadah berbuka puasa tidak setakat yang dimasak sahaja. Pasti ada kecenderungan untuk tambah dan tambah lagi dengan yang dibeli pula. Tidak lengkap gamaknya kalau berpuas hati dengan apa yang ada. Walaupun emak sudah menyediakan ayam dalam pelbagai versi, ada kari, ada masak kicap juga malah ada sup juga, ia tidak cukup lagi sebenarnya.

Tarikan bazar Ramadan sangat kuat walaupun juadah yang emak sediakan sebenarnya sudah cukup kuat untuk menutup selera kami pada juadah yang di jual di bazar Ramadan itu. Masing-masing ada kegemaran sendiri yang tidak mampu emak sediakan semuanya. Emak tidak pandai buat roti John. Emak juga tidak pandai buat cendol. Emak juga tidak cukup tangan untuk buat ayam golek bermadu kesukaan Lokman, cucunya. Emak terlepas pandang buah Melaka yang saya minat. Emak cuma buat bubur kacang merah yang juga saya suka. Emak bukan juga pandai tebar murtabak tetapi ada menantunya yang pencinta murtabak.

Akhirnya di hamparan hidangan, tersajilah pelbagai lauk pauk, kuih muih dan pelbagai warna dan perisa minuman yang menunggu masa untuk dimangsakan. Suapan dan gogokan pertama memang kencang. Namun nafsu tetap nafsu. Tembolok tidak mampu memenuhi tuntutan nafsu. Yang dibeli tidak berupaya dihabis semua malah ada yang tidak di sentuh pun. Yang nampak sedap sebelum berbuka rupanya indah rupa dari rasa.

Pembaziran lagi. Kita memang mewah dengan makanan ketika ada rakan-rakan kita yang menyelongkar sisa-sisa makanan di celah-celah longgokan sampah!

Pena Tumpul - Nafsu memang tidak boleh dihapus tetapi ia boleh diurus

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d...

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...