Skip to main content

Telefon

Khabarnya, mulai tahun depan pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, Ini dinyatakan salah seorang Timbalan Menteri di Kementerian Pendidikan. Persoalannya, perlukah? Kenapa dibenarkan dibawa sedangkan dahulu dilarang?

Cadangan ini kalau dilaksanakan ada baik dan buruknya, Ada kalangan ibu bapa yang berpandangan cadangan ini baik kerana anak mereka perlu berada dalam situasi yang senang dihubungi andai berlaku sebarang kecemasan. Selain dari keperluan yang satu ini, saya tidak nampak lagi sebarang alasan untuk mewajarkan cadangan ini.

Membenarkan telefon bimbit di tangan pelajar sewaktu di sekolah tidak akan mencetuskan masalah besar kalau telefon ini tidak lebih sebagai alat untuk berhubung sahaja. Ia jadi masalah kerana telefon yang ada kini pelbagai fungsi dan aplikasinya. Kebanyakan telefon sekarang dilengkapkan dengan aplikasi untuk menonton pelbagai bentuk media yang mudah dimuat turun pun. Harganya pun bukanlah sangat mahal untuk dimiliki oleh para pelajar. Inilah yang sebenarnya memeningkan pihak sekolah nanti. Pelbagai kemungkinan bisa terjadi. Pelajar akan hilang tumpuan pada pelajaran. Perhatian mereka sedikit sebanyak akan dicuri oleh telefon yang mereka bawa itu. Dan, ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal.

Budaya yang kurang sihat bakal terbit nanti sesama pelajar. Pelajar akan membandingkan telefon yang mereka miliki dari segi jenama dan harga. Yang tidak mampu akan rasa tersisih melihat kawan mereka yang mampu memiliki telefon yang agak hebat. Masalah lain pula yang timbul nanti - pelajar hilang telefon misalnya.

Kalau yang buruk melebihi yang baik, rasanya tidak perlulah diberikan kebenaran ini. Kalau perlu juga, garis panduan perlu disediakan. Misalnya, jadikan peraturan cuma jenis telefon yang paling asas sahaja diizin di bawa masuk ke sekolah. Mungkin juga telefon dipegang oleh guru sepanjang hari sebelum diserahkan semula kepada pelajar bila sekolah usai.

Pun begitu, saya tetap berpendirian telefon bimbit tidak perlu pun dibawa pelajar ke sekolah. Keperluannya bukanlah mendesak sangat pun!

Pena Tumpul - Pakai telefon Samsung paling murah sahaja

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...