Skip to main content

Sibuk

Ada masa dan ketikanya terasa sangat malas untuk mencoret walau sebaris ayat. Banyak yang berlegar dalam kepala namun tidak sangat rasa seronok dan selesa untuk dilontarkan dalam bentuk huruf dan perkataan. Terasa sukarnya. Kekangan masa juga. Amanah dan tugas yang dipikul sangat mendesak untuk diberikan keutamaan dan dibereskan dulu berbanding yang lain-lain yang relatifnya tidak penting.

Kadang-kadang kita tidaklah sesibuk mana pun. Sering juga merungut masa yang cukup pantas sehingga tidak terhambat. Sebenarnya sejak dulu masa tetap 24 jam dan tidak pernah berubah. 12 jam malam dan 12 jam siang. Bukan masa yang kita lihat berlalu pantas itu yang patut kita salahkan, tetapi diri kita yang tidak pandai mengurus waktu yang ada. Kita silap meletakkan prioriti barangkali, yang mana penting dan yang mana tidak. Begitu juga antara yang perlu dengan yang tidak perlu. Ada perkara-perkara yang mencuri masa kita dan paling malang sampai melekakan kita. Terlalu berlama-lama di laman sosial seperti Facebook misalnya sehingga ia menjadi lebih penting daripada yang lain-lain kerana lamanya masa yang dibuang percuma untuknya.

Teringat saya pesanan seorang Ustaz yang saya kira cukup sinis namun sangat memberi kesan. Katanya, kalau satu hari kita mulakan dengan membuka laman sosial ini sebelum kita sepatutnya membuka AlQuran dan membacanya, kita sewajarnya perlu rasa sangat malu dan bersalah. Ia sangat benar dan tiada penafian. Membaca AlQuran sepatutnya mendahului yang lain-lain itu. Bukan juga baca email dulu, bukan juga baca surat khabar dulu, bukan juga tv. Khalifah Umar Abdul Aziz dilaporkan, rasa bersalah yang amat sangat bila satu hari dia tidak membaca AlQuran kerana sibuk dengan urusan pemerintahan negara. Kerana rasa bersalah itu, pada malamnya dia mengulang-ngulang dua ayat dari surah Al-Saf sehingga ke pagi disulam tangisan.

Kita tidaklah sesibuk Khalifah Umar pun. Tidak sesibuk Baginda Nabi juga. Kita banyak masa sebenarnya, masa yang berlalu percuma. Menanda kertas peperiksaan bukanlah sibuk sangat pun!

Pena Tumpul - Biar sibuk asalkan tidak menyibuk

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...