Skip to main content

Dongak

 Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu) – Surah Azzumar ayat 49.

Sudah menjadi lumrah manusia semasa senang kekadang terlupa pada Allah, etapi apabila ditimpa kesusahan tidak lekang di bibir memohon pertolongan menadah tangan berdoa dan mendongak ke langit. Ramai ustaz yang memberi peringatan tetapi sering kali kita terlupa. Mungkin kisah ini akan membuka hati kita. Cerita ini mungkin sudah didengar dan dibaca banyak kali namun ia tetap segar sebagai peringatan buat kita yang adakalanya terlalai dan terleka.Pagi ini lewat corong Radio IKIM saya mendengarnya lagi dikisahkan oleh seorang Ustaz bila dia mengulas tentang musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini.


Ia berkisar tentang kisah wang syiling yang jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik mambancuh simen di tapak pembinaan.Melihat logam kecil itu, tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama, tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan sekelilingnya. Tiada siapa yang berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya. Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syilling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.

“Rezeki aku” kata lelaki itu dalam hati. Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya dari aras lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu. Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yang berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Justeru, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan dapatlah dia menyampaikan pesanannya kepada pekerjanya itu. Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.

Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yang terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah. Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yang menyerang tadi, barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

Kisah ini ingin menarik perhatian kita bahawa Allah sering menjatuhkan rezeki (syiling ), rahmat atau kesenangan yang tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaanNya. Tetapi, acap kali kita lalai untuk ‘mendongak’ ke atas, sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa ucapan syukur.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi , apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu dia jatuhkan pula ‘batu’ yang berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan untuk bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

Baru batu kecil, kalau batu besar bagaimana?

Pena Tumpul - Sudah terantuk baru nak terngadah

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...