Skip to main content

Menabung

Kata orang tua-tua "sikit-sikit lama jadi bukit". Ia berkaitan dengan amalan menyimpan duit sedikit demi sedikit. Waktu kecil-kecil dulu saya selalu disaran oleh ayah ibu supaya menyimpan duit. Dulu ayah beri 30 sen sahaja untuk belanja sekolah. Sekitar 70an dulu, 30 sen agak besar nilainya. Selalunya saya akan simpan 10 sen dalam tabung ayam.Saya tidak pernah gagal melakukannya setiap hari sehinggalah saya tamat sekolah. Kalau waktu raya, bila ada saudara mara yang datang makin bertambahlah wang tabung saya.

Bila tabung ayam penuh, akan pecahlah tabung itu. Duit yang terbarai bukan hendak dibelanjakan tetapi disaran pula oleh emak agar menyimpannya di Pejabat Pos. Dulu, menyimpan wang di bank hanya untuk orang yang banyak duit sahaja. Amalan menabung saya lakukan tanpa gagal. Hasilnya bila sahaja saya tamat Tingkatan Lima duit yang terkumpul mencecah hampir empat ribu. Hati gerang bukan kepalang. Dalam hati sudah berkira-kira hendak membeli apa-apa yang diidam. Mahu beli basikal. Saya beli sebuah basikal dan selebihnya tetap tersimpan. Saya mahu guna duit simpanan itu untuk beli buku-buku.

Kini, Hafiz dan Hadif mewarisi amalan menabung seperti saya. Setiap sen dan ringgit yang saya berikan kepada mereka, di depan mata saya dimasukkan terus dalam tabungnya. Saya bangga dengan kedua-duanya. Kata Hafiz, dia menyimpan separuh daripada wang belanja harian sekolahnya. Hadif pula meminta ibunya membekalkannya dengan bekalan dari rumah setiap hari. Dia mahu menyimpan semua wangnya.

Hari Raya kali ini khabarnya Hafiz dan Hadif berjaya memindahkan akaun orang lain ke dalam akaun masing -masing dengan jumlah yang agak menakjubkan juga. Dua adik beradik ini bernasib baik kerana saudara mara tidak kiralah yang rapat atau jauh tidak lokek memberi. Tak banyak,sikit. Atok Hindon mereka penyumbang paling besar dan memberikan jumlah yang sama kepada semua cucu cicitnya. Dapat durian runtuh lagi bila hasil pertanian dari Ladang Felcranya dilaporkan agak lumayan. 

Pena Tumpul -Ada lagi ke tabung ayam?



Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...