Skip to main content

Juadah

Saya teringat zaman sekolah dahulu bila berpuasa. Waktu itu sekitar lewat 70an.Seronoknya berpuasa waktu itu kerana setiap petang jiran-jiran berhampiran tidak pernah lupa untuk menghantar juadah berbuka puasa untuk saya sekeluarga. Kalau empat jiran yang menghantar, bermakna empat juadah yang berbeza yang bakal disantap semasa berbuka puasa. Emak pula tentunya sentiasa bersedia dengan juadah sebagai balasan. Tidaklah elok untuk dipulangkan pinggan kosong sahaja.

Bila teringat itu semua, ingatan saya pantas menerjah kepada dua orang jiran yang sangat rapat dengan keluarga saya ini. Tidak ada satu hari pun yang saya ingat Cikgu Rizal dan Kak Ros membiarkan saya sekeluarga berbuka tanpa juadah istemewa daripadanya. Pelbagai jenis mee dan makanan yang enak yang tidak pernah kami rasa hasil air tangan mereka berdua. Kedua-duanya memang pandai masak lebih-lebih lagi Kak Ros.Mereka memang lebih pemurah berbanding dengan jiran yang lain. Kuantiti yang diberi pula bukan sedikit malah cukup mengenyangkan untuk kami.
Kini semuanya tinggal kenangan yang tidak mudah untuk dilupakan.Cikgu Rizal sudah agak uzur sekarang. Kak Ros pula mungkin tidak gemar memasak seperti dulu-dulu. Sesekali berjumpa di waktu hari Raya, saya seronok bercerita tentang masa lalu. Pantasnya masa berlalu.

Kini, amalan bertukar-tukar juadah hampir tiada lagi malah kian pupus. Kita lebih sebok mendapatkan pelbagai juadah di bazar Ramadan yang tidak pernah wujud pun waktu dulu. Saya melihat kewujudan bazar yang tidak saya pasti bila mulanya, menjadi faktor kepada luputnya amalan bertukar-tukar juadah ini. Sebenarnya amalan bertukar juadah ini adalah satu bentuk sedekah yang sangat-sangat dianjurkan dalam bulan Ramadan. Gaya hidup yang berubah dimana masa sangat-sangat suntuk untuk menyediakan juadah berbuka puasa, kehadiran bazar Ramadan ini memang sangat-sangat diperlukan.

Pena Tumpul- Rindu buah melaka hasil air tangan emak

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...