Skip to main content

Tarawih

Ibadah puasa sudah masuk hari ke 21 dan sudah melebihi separuh Ramadan yang telah dilalui. Solat Tarawih antara amalan yang dituntut kita melakukannya di bulan penuh barakah ini.Ia sunat namun ganjarannya seperti amalan fardu. Rugilah kalau kita meninggalkan solat yang hanya terdapat di bulan Ramadan ini sahaja.

 Sejak sekian lama malah sejak seawal di bangku sekolah lagi, saya seboleh-bolehnya melakukannya di masjid. Pun begitu,dalam keadaan-keadaan tertentu yang tidak mengizinkan, saya mengerjakannya secara solo di rumah.

Saya melihat solat terawih yang dikerjakan sejak dulu hingga sekarang di masjid-masjid mempamerkan senario yang tidak banyak berubah. Di awal-awal Ramadan, masjid sesak hingga memenuhi segenap ruang sehingga saya terdengar Pak Imam mengeluh kepada perlunya masjid dibesarkan bagi menampung keperluan jemaah yang melimpah ruah. Pun begitu di hujung-hujungnya Pak Imam mengeluh lagi tetapi kali ini kerana bilangan yang hadir semakin merosot.

Melihat senario yang berlaku ini, teringat saya kepada seorang Ustaz yang berseloroh namun ada benarnya. Katanya, keadaan yang berlaku itu tidak ubah seperti perlawanan bola sepak Piala Dunia. Di pusingan awal, biasanya banyak pasukan yang tidak kita kenal beraksi namun bila naik ke peringkat seterusnya, satu demi satu pasukan tersingkir dan hilang dari pandangan. Cuma pasukan yang hebat-hebat sahaja akan terus kekal beraksi di peringkat separuh akhir apatah lagi di peringkat akhir. Yang biasa-biasa sudah kecundang. Begitulah juga di hari pertama dan minggu pertama solat Terawih kelihatan wajah-wajah baru yang agak asing. Bila masuk minggu kedua, wajah-wajah ini tidak muncul lagi.

Di malam-malam terakhir hanya yang benar-benar kuat dan kental sahaja akan kekal untuk bertarung merebut piala kemenangan!

Pena Tumpul - Moga kekal hingga ke peringkat akhir


Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...