Skip to main content

Merokok

Pagi ini bersarapan pagi di salah sebuah warong di Kg Jawa yang kelihatannya berjaya menarik ramai pengunjung. Menu istemewa tentunya nasik lemak, mee rebus dan juga lontong. Saya selalunya memilih mee rebus sebagai pengalas perut sebelum makan tengahari. Boleh tahan juga mee rebusnya. Tidak hairanlah ramai yang mengunjung warong ini.

Tiba-tiba saya dengar isteri merungut sendirian. Hidungnya paling sensitif dengan bau asap rokok yang menusuk. Untuk kesekian kalinya dia menyuarakan rasa geramnya dan kurang senang dengan sikap setengah-setengah perokok yang wewenangnya merokok di tempat awam. Papan tanda melarang merokok yang terpampang tidak diendahkan langsung. Hak merokok adalah hak peribadi namun hak orang awam jangan dinafikan juga. Setiap kali terhidu asap rokok, beginilah dia- melepaskan marah dan geramnya kepada saya.

Saya amat bernasib baik kerana tidak merokok. Tidak dapatlah saya bayangkan sekiranya saya sebagai orang paling rapat dengannya juga merokok. Barangkali saya akan disisih jauh-jauh dan menjadi mangsa leterannya tanpa henti. Saya sedar bahana merokok bukan sahaja ditanggung oleh perokok malah mereka yang berada dalam lingkungan perokoklah yang lebih terasa padahnya. Isteri dan anak-anak tentunya.

Namun bagi mereka yang merokok tentunya punyai sebab mereka sendiri untuk merokok- kepuasan, ketenangan dan entah-entah apa lagi, yang pasti tidak ada manafaatnya. Ironinya, walaupun harga rokok terus melambung tinggi, ia bagaikan tidak memberi kesan langsung kepada pengurangan tabiat buruk ini apatah lagi untuk meninggalkan terus amalan ini. Entahlah, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Kini, rokok bentuk baru pula melanda negara yang khabarnya bilangan penghisap sudah mencecah jutaan dan terus bertambah. Khabarnya perokok wanita juga tidak ketinggalan menyumbang kepada peningkatan bilangan tersebut. Hebat betul penangan vape!

Khabarnya, sejak memasuki pasaran dunia pada 2004, penggunaannya terus meningkat dan dalam tempoh satu dekad, sejumlah 466 jenama telah dihasilkan dengan kadar jualan mencecah US7 billion.


 Pena Tumpul - pernah mencuba rokok daun atok masa sekolah dulu

Comments

Anonymous said…
This comment has been removed by a blog administrator.

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...