Skip to main content

Petrol

Harga petrol turun lagi hari ini buat kali ke tujuh. Saya percaya ramai yang girang apabila harga bahan bakar kini cuma RM1.80 seliter, lebih rendah daripada harga sebelum dinaikkan secara mendadak dahulu, RM1.97 seliter. Girang tetapi tidak seronok. Membeli belah di supermarket misalnya tidak lagi seseronok dulu. Kehendak begitu dibatasi oleh harga yang melambong tinggi. Penurunan harga minyak tidak membawa makna apa-apa sekiranya harga barang keperluan terus dijual pada harga ketika minyak berada di paras RM2.70 seliter. Logiknya, apabila harga petrol turun, harga barang juga sepatutnya turun, justeru formula inilah yang diguna pakai oleh peniaga apabila harga minyak dinaikkan dahulu. Malangnya, bila harga petrol telah turun sebanyak tujuh kali, formula ini dipinggirkan. Saya sendiri sudah mual, jemu dan bosan dengan sikap setengah peniaga kita. Begitu bermaharajalela memanipulasikan harga. Rakus. Tamak dan haloba. Namun, kita sebagai pengguna tidak punya banyak pilihan. Saya melihat dengan penuh bimbang sekiranya harga minyak mentah di pasaran naik semula, sebarang kenaikan harga minyak yang akan dilakukan oleh kerajaan cuma mengundang petaka kepada pengguna. Harga barang yang sepatutnya turun tidak turun, malah akan terus naik dan naik dan naik. Justeru memang begitu sikap peniaga kita. Tangkas bingkas menaikkan harga tetapi liat lembik menurunkannya. Kerajaan perlu berfikir seribu kali sebelum bercadang untuk menaikkan harga minyak selepas ini kerana pengguna bakal menjadi mangsa kerakusan kegelojohan peniaga untuk kesekian kalinya!

Pena Tumpul - Tidak nampak penguatkuasa KPDNHEP bekerja

Comments

Popular posts from this blog

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...