Skip to main content

Alasan


Diko tidak habis-habis memberi alasan. Bila ditanya kenapa merosot benar pencapaiannya dalam ujian baru lepas pelbagai alasan terpacul dari mulutnya. Dia kata cikgu selalu tidak masuk kelas. Cikgu kurang beri latihan. Cikgu Matematik pula dikatakan tidak cukup pandai mengajar lantas sukar untuk difahami. Ada lagi alasannya. Bilik darjah panas sebab kipas rosak oleh itu tidak begitu selesa untuk belajar.


Ingin sekali saya dengar jawapan ini dari mulutnya. "Salah saya, kurang mengulangkaji pelajaran. Buat latihan matematik pun kurang. Dalam kelas, bila cikgu mengajar saya kurang tumpuan, asyik ingatkan arnab saya di rumah. Kadang-kadang saya tertidor dalam kelas sebab saya tidor sampai larut malam tengok tv. Memang salah saya. Bukan salah orang lain" Namun jawapan begitu jarang sangat kita dengar.

Memang begitulah sifat semula jadi manusia dan pastinya termasuk saya juga. Lebih gemar mencari dan memberi alasan terhadap sebarang kegagalan yang diterima. Sebenarnya memberi alasan tidak menyelesaikan masalah pun. Kita mungkin rasa selesa dan selamat apabila punya alasan untuk menyalahkan pihak lain. Setakat itu ajalah.

Teringat saya lagu Bangau oh Bangau yang pertama kali saya lagukan ketika di darjah satu. Bermula dengan sibangau yang menyalahkan ikan yang tidak mahu timbul di kolam sehingga ia jadi kurus. Lalu ikan pula menyalahkan rumput yang panjang. Lalu kerbau pula yang disalahkan kerana membiarkan rumput panjang tidak dimakan. Salah menyalah tidak tamat di situ. Kerbau juga tidak mahu mengalah, lalu dia menyalahkan perutnya yang sakit sehingga dia tidak cukup teruja untuk meragut rumput. Perut pula menyalahkan nasi mentah yang dibahamnya. Lagu ini pastinya tiada penghujungnya andai si ular mengambil sikap serupa menyalahkan pihak lain. Namun si ular menamatkan cerita yang penuh sindiran ini dengan mengaku bahawa dialah punca kepada rentetan masalah yang berlaku.


Dan pagi ini saya didatangi dua pelajar meminta dilanjutkan barang sehari dua lagi untuk menghantar tugasan yang diberikan beberapa bulan yang lalu. Mereka beralasan lagi!

Pena Tumpul - Kalau tidak tahu menari jangan salahkan tanah yang tinggi rendah

Comments

PENA KASIH said…
Bila sudah tidak mampu hendak memberi alasan, orang lain pula yang hendak dipersalahkan......
Kadang-kadang alasan itu tidak masuk akal langsung.Yang salah tetap bersalah......
Jadi fikir-fikirkanlah kesalahan diri sendiri.

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus