Skip to main content

Takut

Saya percaya semua orang pernah diselubungi rasa takut. Macam-macam takut. Ada yang takut nak makan ubat. Ada yang takut gelap. Seribu satu macam takut yang begitu panjang senarainya. Saya masih ingat sewaktu kecil dulu betapa takutnya tinggal seorang diri di rumah, khususnya di waktu malam. Takut dan kecut. Semalaman saya gagal memejamkan mata untuk tidor. Pelbagai benda yang menerjah fikiran.

Saya pasang semua lampu yang ada dalam rumah. Terang benderang. Namun masih gagal untuk menghumban rasa takut. Kemudian pasang radio sekuat-kuatnya. Buka tv juga. Masih takut yang tidak tentu fasalnya.

Bukanlah luar biasa untuk semua orang mempunyai rasa takut cuma kadangkala kita tidak mampu untuk mengatasi perasaan takut tersebut dengan cara yang positif. Kita tidak perlu mengubah wajah dan bentuk luaran bagi menghadapi ketakutan. Apa yang perlu kita ubah ialah cara kita berfikir. Berubah kepada cara pemikiran yang positif dan bertindak secara bijak untuk memanipulasikan ketakutan agar ia memberi natijah yang positif.

Kisah seekor tikus ini pastinya cukup menarik untuk dikongsi dalam kita melihat ketakutan dari perspektif positifnya.

Ada seekor tikus yang sentiasa hidup dalam keadaan yang tertekan. Tekanan itu disebabkan oleh ketakutannya kepada seekor kucing. Lalu tikus itu menemui seorang tukang sihir untuk meminta tolong. Sang tikus itu meminta tukang sihir tersebut mengubahnya menjadi seekor kucing. Tukang sihir tersebut memenuhi keinginan sang tikus.

Setelah ia bertukar menjadi kucing, tekanan itu belum berakhir. Kali ini ia takut pula kepada anjing. Lalu ia meminta tukang sihir itu menukarkannya menjadi seekor anjing. Apabila berubah menjadi anjing, ia takut pula kepada singa lalu diminta kepada tukang sihir itu untuk menukarkannya menjadi seekor singa.

Kini ia sangat ketakutan pula kepada pemburu. Ia bertemu tukang sihir itu sekali lagi untuk meminta tolong. Ia meminta supaya tukang sihir itu menukarkannya menjadi pemburu. Kali ini tukang sihir itu menolak permintaan sang tikus.

"Selagi kamu masih berhati tikus, tak kira apa sekalipun bentukmu samada kucing, anjing, singa atau pemburu, kamu tetaplah pengecut seperti seekor tikus." kata tukang sihir tersebut sambil berlalu meninggalkan sang tikus.

Pena Tumpul - Tidak takut menyatakan yang benar

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...