Skip to main content

Pintas


Saya diajak isteri ke kedai bunga. Sudah beberapa hari dia merengek untuk menambah koleksi bunga kertasnya. Ketika dia sibuk melilau dengan bunga kertasnya, pokok buluh dalam pasu ini amat menarik perhatian saya. Terdorong hati untuk memiliki satu. Nampak cantik dan menghijau.

"Ini pokok buluh China. Orang Melayu jarang beli. Kalau awak nak beli tak apa", kata taukeh kedai bunga itu. Isteri kelihatannya tidak sangat berminat dengan pokok ini. Dia lebih teruja dengan bunga kertas yang pelbagai warna itu.

Saya bermula dengan satu pokok dulu. Saya diberitahu oleh taukeh itu bahawa pokok buluh ini memang luar biasa. Selalunya, pokok ini tidak tumbuh walau seinci pun setelah lima tahun ditanam, namun tiba-tiba boleh tumbuh sehingga 10 kaki selepas itu dalam beberapa minggu sahaja! Amat menarik. Saya belajar sesuatu dari pokok buluh China ini.

Saya melihat buluh ini seperti mengambil masa terlalu lama untuk tumbuh. Pun begitu, tidakkah itu lebih baik daripada cepat tumbuh tetapi cepat pula matinya nanti. Tidak hairanlah mengapa buluh jenis mampu mengatasi buluh-buluh yang lain dan boleh bertahan lebih lama.
Untuk tahan lama buluh ini memerlukan akar tunjang yang banyak lagi kukuh dan ini tidak berlaku dalam waktu yang singkat. Tidak juga ada jalan pintas untuk menghasilkannya.

Teringat saya pengalaman sendiri bersama rakan sekolah yang lain ketika membuat lawatan ke Taman Burung bersama Guru Sains Darjah Enam, Cikgu Ahmad Arshad. Ketika leka memerhati pelbagai jenis burung, saya ternampak seekor rama-rama dan ia amat menarik perhatian saya. Katanya rama-rama serangga paling cantik di dunia dan juga serangga paling buruk. Saya hairan. Kawan-kawan pun takjub juga. Cikgu membuktikan kepada kami dengan menunjukkan satu kepompong yang hodoh rupanya.

"Dari kepompong inilah akan keluar rama-rama."kata cikgu. Namun ia amat lambat berlaku.Kami semua tidak sabar untuk melihat rama-rama yang cantik keluar. Kami ambil jalan pintas. Kami mengoyakkan kepompong itu dan rama-rama keluar. Namun, tidak lama selepas itu rama-rama lemah dan akhirnya mati.

Rama-rama mati kerana ia belum cukup bersedia untuk didedahkan ke udara. Mengambil jalan pintas dalam apa keadaan sekali pun tidak berakhir dengan kejayaan. Begitulah selalunya. Tidak ada jalan pintas untuk kaya. Tidak juga ada jalan pintas untuk jadi pandai. Mengambil jalan pintas hanya memusnahkan. Kerana ingin pantas jadi kaya misalnya ada yang sampai sanggup melebur wang dalam skim cepat kaya; akhirnya bukan laba yang diraih.
Pena Tumpul - Tiada jalan pintas untuk ke syurga juga

Comments

PENA KASIH said…
Perkongsian ilmu yang menarik dan bermakna

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...