Skip to main content

Doa


Seusai sahaja solat Isyak malam tadi, saya begitu terdorong untuk bertanya setiap orang makmum yang hadir, soalan ini, "Pak Husin, faham tak isi kandungan doa yang Pak Husin aminkan tu?" Soalan yang sama juga ingin saya ajukan kepada Mat Sabu, Zul, Pak Mat, Razak, Angah dan semuanya. Malah saya ingin tanya kepada Faruk juga yang mengemudi bacaan doa setiap kali lepas solat. Panjangnya doa yang dibaca oleh Faruk. Antara dengar dan tidak. Saya perlu mengakui sukarnya untuk memahami apa yang didoakan itu.

Namun saya tidak diberi kekuatan untuk bertanya soalan yang paling senang itu. Saya tidak mahu saya disalahtafsir. Saya tidak mahu dilihat seolah-olah memperkecilkan mereka walaupun saya tidak berniat begitu sebenarnya. Lalu, soalan yang sudah berkali-kali hendak saya luahkan itu terus tinggal terperam di benak fikiran. Biarlah saya bersangka baik bahawa mereka semua faham kecuali saya.

Saya selalu percaya bahawa doa adalah kekuatan yang mendorong dan oleh itu ia mestilah difahami.Ketika kita lemah, kita berdoa memohon kepada Tuhan semoga kita dapat bangkit kembali. Ketika berdoa, kita menceritakan kelemahan diri. Doa juga boleh dianggap perisai pertahanan daripada rasa kekecewaan. Alangkah sayangnya sekiranya kita berdoa tetapi tidak pula faham apa yang didoakan. Aktiviti berdoa pastinya akan lebih mengesankan andai kita memahami akan maksudnya.Doa yang benar-benar difahami akan merubah hidup menjadi lebih kuat berazam, lebih cergas dan lebih jujur. Doa bukan sekadar kata-kata, tetapi interaksi yang boleh merawat diri kerana ia lebih merupakan gambaran perasaan dan jiwa.

Tentunya tiada salahnya untuk berdoa dengan apa bahasa pun yang kita fahami kerana sifat Allah sendiri yang maha mengetahui.Saya harap saya betul.

Benar, tentunya lebih afdal untuk kita berdoa dalam bahasa Arab. Justeru,kita diseru untuk belajar bahasa Arab dan hasilnya kita tahu apa yang kita baca dalam solat dan apa yang kita minta dariNya.

Sampai bila kita akan terus berdoa tanpa faham?

Pena Tumpul - Ingin sangat lihat Imam baca doa dalam Bahasa Melayu lepas solat

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...