Skip to main content

Psikologi

Saya sedang membaca dengan penuh minat beberapa petikan dari cara dan teknik Nabi dalam menyampaikan dakwah dan mendidik orang-orang di sekeliling beliau. Amat menarik kajian yang dihasilkan oleh kumpulan pengkaji ini dan ia memang satu usaha yang wajar diberikan pujian. Tidak perlulah kita taksub sangat dengan kaedah kaunseling yang didokong oleh pakar-pakar psikologi dari Barat.

Antara yang menarik perhatian saya ialah  apabila Nabi Muhammad memberi komen ke atas perbuatan yang salah, beliau menggunakan ayat penerangan. Beliau tidak menggunakan ayat teguran ataupun ayat larangan.

Ayat penerangan hanya menerangkan perbuatan yang betul ataupun yang salah. Kesalahan itu tidak dikaitkan dengan diri sesiapa. Manakala ayat teguran ditujukan kepada diri orang yang bersalah, oleh itu ia menggunakan perkataan 'kamu', dan ia menuduh diri orang yang ditegur itulah yang bersalah. Ayat larangan pula menggunakan perkataan 'jangan'.


Dalam rekod-rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak menegur orang-orang yang melakukan kesalahan.

Catatan sejarah di bawah ini menujukkan ayat penerangan yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila berlaku peristiwa orang kampung kencing dalam masjid.

Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu.

Dalam peristiwa itu, kata-kata yang Nabi Muhammad gunakan bagi memberitahu lelaki itu peraturan di dalam masjid adalah: “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.

Ciri-ciri kata-kata Nabi Muhammad itu:

1. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'kamu' kepada pesalah kencing dengan berkata:

* "Kamu tidak boleh kencing di dalam masjid."
* "Kamu jangan kencing di dalam masjid."
* "Masjid bukan tempat kamu kencing."

Tanpa menyebut perkataan 'kamu', kata-kata Nabi Muhammad itu berbentuk umum, yakni boleh ditafsirkan ia ditujukan kepada semua orang yang ada di situ pada waktu itu.

Ayat yang menggunakan perkataan 'kamu' adalah ayat yang ditujukan kepada diri orang itu, ertinya teguran ditujukan kepada diri, bukan ditujukan kepada perbuatan. Ayat 'kamu' menjatuhkan maruah orang yang ditegur.

2. Nabi Muhammad tidak menasihati lelaki itu dengan berkata:

* "Lain kali kamu jangan kencing lagi di dalam masjid."
* "Ingat, ya. Masjid bukan tempat kencing."

3. Nabi tidak memberi amaran dengan berkata:

* "Kali ini saya maafkan, lain kali jangan diulang lagi."
* "Kalau kamu buat lagi, kamu basuh sendiri kencing kamu itu."

4. Nabi tidak memarahi dengan berkata:

* "Kamu pengotor!"
* "Takkanlah kamu tak tahu ini masjid, bukan tandas!

Hebatnya ilmu psikologi junjungan besar kita. Kita bagaimana?


Pena Tumpul - Sedang baca lagi

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...