Skip to main content

Langkawi

Pelawaan dan ajakan untuk ke Langkawi pernah saya tolak berkali-kali. Alasannya mudah iaitu saya tidak cukup berani untuk berada dalam sebuah feri meredah air laut walau untuk beberapa minit. Ia kelihatannya macam tidak masuk akal. Saya takut diserang mabuk laut barangkali. Bertahun-tahun saya membekukan hasrat untuk berkongsi cerita seronoknya ke pulau lagenda Mahsuri ini. Isteri yang amat kepingin ke pulau ini cuma bersabar menahan lonjakan untuk membeli pelbagai pinggan mangkuk yang kononnya cukup murah, cantik dan pelbagai.

Namun hari ini saya menyiat segala ketakutan saya selama ini. Saya juga tidak mahu menghampakan harapan isteri yang menggunung tinggi. Sementelah saya berada di bumi Perlis adalah satu kerugian yang bukan sedikit sekiranya tidak menjengah ke pulau ini. Seawal tujuh pagi saya sekeluarga termasuk ayah dan mak mertua membonceng feri Lada Tiga berlayar menuju ke pulau yang sarat dengan sejarah ini. Perasaan bercampur baur. Takut dan teruja. Saya memujuk ketakutan saya dengan menyebokkan diri membaca sepanjang 45 minit pelayaran yang saya rasakan amat lambat dan perlahan. Saya mahu melihat daratan cepat. Saya tidak mahu begitu lama di tengah laut. Saya tidak selesa dengan pengalaman pertama ini.

Akhirnya sampai juga saya di Langkawi. Isteri saya lihat paling seronok. Saya tahu dia mahu melampiaskan dendamnya untuk membeli pinggan mangkuk yang menjadi idamannya selama ini. Saya mengawal keterujaannya. Jangan ghairah sangat justeru bukan mudah untuk membawa semuanya. Dia akur bila saya kata Langkawi akan didatangi lagi selepas ini. Haziq berbelanja besar dengan coklat-coklatnya. Diko pula tidak menang tangan mengambil gambar untuk kenangan. Langkawi saya tinggalkan sekitar jam lima petang dan menaiki feri untuk kali kedua saya sudah tidak takut lagi.

Isteri sudah berangan-angan ingin ke Serawak pula!

Pena Tumpul - Terima Kasih Encik Nizam yang menjadikan segalanya mudah

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...