Skip to main content

Air

Masalah air lagi. Ketika air sangat-sangat diperlukan, ketika itu jugalah bekalan air tersekat-sekat dan terputus. Lebih mengecewakan di musim perayaan pun, bekalan air yang tidak lancar terus menghantui pengguna termasuk saya. Pengguna mungkin boleh bertahan kalau keadaan ini berlaku pada hari-hari biasa.

Bila masalah air ini akan selesai? Sampai bila ia akan berterusan? Ini antara persoalan yang berlegar difikiran dan perlu kepada jawapan. Saya mendapatkan jawapannya bila berpeluang berbual dengan dua orang yang memang berautoriti untuk bercakap tentang air. Kata Aidil, jurutera SAJ yang datang ke rumah berhari raya masalah air di Segamat hanya akan selesai sepenuhnya menjelang 2016 atau paling lewat 2018 apabila sebuah loji siap dibina nanti. Sebabnya loji yang sedia ada tidak berupaya menampung taman-taman perumahan baru yang membiak sekarang. Begitu juga dengan bilangan tangki yang agak terhad. Akibatnya, kawasan yang tinggi akan terjejas kerana selalunya air akan sampai laju dan pantas di rumah-rumah yang terletak di kawasan rendah. Sesampai sahaja di kawasan yang agak tinggi, tekanan sudah mula rendah dan hasilnya air yang keluar dari lubang paip sangat sangat kecil.Beginilah yang kerap berlaku.

Seorang lagi jurutera air memberi pandangan yang berbeza dan lebih menyeluruh. Zulkhairi yang sudah bertahun-tahun bekerja di Jabatan Air Selangor pulang beraya di kampungnya dan sempat menziarahi saya. Agak panjang lebar juga ceritanya tentang air ini. Katanya, rakyat Malaysia membazir dalam penggunaan air kerana menggunakan lebih daripada yang sepatutnya. Malah rakyat Malaysia merupakan antara pengguna yang paling banyak membazir air berbanding pengguna negara lain di Asia Tenggara. Penduduk Malaysia menggunakan purata 226 liter air setiap hari berbanding rakyat Singapura 155 liter dan Thailand sebanyak 90 liter setiap hari.

Kata Zul, kadar penggunaan air yang disyorkan untuk setiap penduduk di negara ini ialah cuma 150 liter setiap hari sahaja.Kenapa kita membazir air? Mudah sahaja jawapannya. Air kita sangat murah dan orang ramai tidak rasa terbeban membayarnya. Corak penggunaan mungkin berubah, kalau harga air kita tinggi. Apa kata, naikkan sahaja harga air? Ramai yang memberontak nanti, pastinya.

Pena Tumpul - Guna air telaga sahaja

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...