Skip to main content

Palsu

Banyaknya yang palsu dalam kehidupan kita. Pada tubuh badan pun tidak kurang yang palsu, bermula dari hujung rambut hingga hujung kaki. Bermula dengan rambut palsu, bulu mata palsu, gigi palsu, tangan palsu sehinggalah ke kaki palsu. Kadang-kadang senyuman pun palsu. Menangis juga adakalanya palsu. Bila ia palsu, ia tidak asli dan tulin.

Khabarnya, akhir-akhir ini tercetus pula soal sijil palsu, diploma dan ijazah yang juga palsu. Dokumen palsu ini digunakan dalam permohonan pekerjaan yang saingannya makin sengit sekarang. Paling menggemparkan pemilik-pemilik PhD palsu yang bilangannya tidak sedikit. Dan lebih memeranjatkan lagi adanya orang politik yang berstatus Tan Sri juga memilikinya. Menurut sumber, khabarnya mereka tidak sanggup berhabisan wang ratusan ribu untuk mendapatkan secara mudah ijazah yang berprestij ini. Sindiket yang mengendalikan kegiatan tidak bermoral ini khabarnya juga mengaut untung jutaan ringgit memperdayakan mangsanya. Manusia sanggup melakukan apa sahaja sekarang untuk mencapai apa yang mereka sangat idamkan.

Dulu-dulu sekitar 60an dan 70an, seseorang yang diterima belajar di universiti dianggap pencapaian yang sangat tinggi. Masa itu, cuma ada empat buah universiti sahaja. Universiti swasta langsung tiada. Untuk masuk universiti, sesorang mesti lulus HSC dengan gred yang sangat baik dan pilihan utama masa itu sudah tentunya Universiti Malaya.

Menariknya dulu, seorang budak kampung yang agak miskin kalau diterima belajar di universiti, ia akan dinobat seluruh kampung dan akan dihantar di stesyen keretapi atau bas oleh semua orang kampung. Ibubapa anak tersebut akan dicemburui kerana kejayaan mereka mendidik anak sampai masuk universiti. Bila balik cuti, mereka selalunya dengan rasa megah akan pakai tshirt ada logo universiti tunjuk pada seluruh orang kampung. Masa itu jugalah anak-anak gadis pingitan akan bersidai untuk menarik perhatian budak universiti ini. Manalah tau, ada harapan untuk terpilih sebagai teman wanita dan kalau lebih baik lagi, jadi teman hidup.

Dulu-dulu juga, komputer pun tiada. Internet jauh sekali. Berbeza dengan sekarang, maklumat semua di hujung jari dan tugasan yang dihasilkan pun bukan juga sangat tulin tetapi palsu. Di manalah keasliannya kalau ia cuma salin dan tampal yang memang sangat senang dilakukan sekarang. Kadang-kadang ada yang tidak faham pun apa yang mereka tulis itu. Buat asal buat dan dihantar kepada pensyarah mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Pendidikan sudah macam komoditi yang boleh diniagakan. Lantas, ijazah palsu adalah antara barangan yang diniagakan kerana memang ramai pembelinya pun. Kalau sudah mudah begitu, apalah gunanya belajar teruk-teruk kalau ijazah PhD pun sudah boleh dibeli begitu saja dan bukan dari calang-calang universiti juga.


Sekarang ini bukan berapa banyak ijazah yang kita ada itu yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang, tetapi lebih kepada bagaimana sesorang itu menjual dirinya dalam dunia yang semakin mencabar ini.Dan, kena pandai kelentong juga!

Pun begitu saya selalu percaya belajar di universiti bukan sangat kerana sekeping kertas ijazah itu tetapi menimba ilmu itulah yang lebih penting lagi. Kita memang boleh mendapatkan ijazah itu, tetapi belum tentu lagi kita dapat ilmu itu. Lebih malang lagi kalau ijazah palsu pula!

Pena Tumpul - Suka lagu Cinta Palsu nyanyian Mazuin Hamzah, lagu dulu-dulu

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...