Skip to main content

Baju

Bila saya lihat Haziq bebas untuk memilih baju kemeja kesukaannya untuk hari raya, hati saya sangat tersentuh. Saya dan mamanya menunggu sehingga beberapa jam malah berhijrah dari sebuah pasaraya ke sebuah pasaraya kerana baju yang diidam hatinya tidak kunjung jumpa.

Saya tersentuh bukan kerana perlu menunggu lama dengan kerenah anak lelaki yang seorang ini tetapi berpuluh-puluh tahun lalu seusianya saya tidak diberi peluang pun untuk buat pilihan. Malah saya tidak dibawa pun bersama ayah. Bukan kerana saya tidak mahu, tetapi saya tahu ayah ada sebab kenapa tidak perlu bawa anaknya bersama. Ayah tidak punya banyak duit. Saya bukan lahir dengan sudu emas, di mana apa yang saya hendak boleh sahaja saya dapat dengan mudah. Saya cukup mengerti kesukaran ayah menyara kami tujuh beradik.

Masih segar di ingatan saya ketika saya dan emak sedang sibuk-sibuk merebus ketupat, ayah balik dengan sehelai kemeja lengan panjang. Saya tidak pernah tanya pun apa jenamanya dan harganya. Saya terima apa yang ayah beli untuk saya dengan hati yang sangat terbuka. Saya sangat sedar itu yang ayah mampu. Walau tidak mahal dan tidak juga berjenama, saya bersyukur sekurang-kurangnya saya masih ada baju raya yang baru untuk dipakai di hari raya.

Jauhnya beza dulu dan sekarang. Dulu, anak-anak terima sahaja apa yang dibeli oleh ayahnya. Tidak banyak kerenah dan tidak banyak soal. Sekarang ini, anak yang membuat keputusan dan ayah pula yang mengikutnya.

Betullah kata Nabi, di waktu akhir zaman nanti, ibu dan ayah akan melahirkan seorang anak yang bakal menjadi tuan kepadanya!

Pena Tumpul - AlFatihah buat ayah

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...