Skip to main content

Limau

Saya berkesempatan mendengar dan menyaksikan secara langsung PU Faiz yang diundang khas mengisi slot Karnival Kebudayaan di Dataran Segamat malam tadi. Penyampaiannya menarik dengan lontaran suara yang bertenaga. Isi kandungan tazkirahnya juga sarat dengan ilmu yang bermanafaat untuk di fikirkan dan sekaligus dijadikan panduan dan amalan. Berbaloi menunggu sehingga 12 malam.

Loghat Kelantannya sangat ketara dan sesekali mampu membuat hadirin ketawa. Banyak yang disampaikan oleh Ustaz Faiz namun ada satu cerita yang sangat memberi kesan dihati bila Ustaz muda ini bercerita tentang akhlak dan cara Rasulullah dalam menghargai pemberian orang.  Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula

Diceritakan bahawa suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda.

Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW yang makan limau itu seorang diri sahaja.. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."

Khabarnya wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW. Hebatnya penangan akhhlak yang baik sehingga mampu menewaskan niat yang tidak baik.

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula.  Kita hendaklah menghargai pemberian orang lain walaupun pemberian tersebut bukan kesukaan kita. Ucaplah terima kasih dan terimalah dengan hati yang ikhlas dan terbuka kerana setiap pemberian adalah rezeki daripada Allah.

Pena Tumpul - Banyak dapat limau musim raya China ini

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d...