Skip to main content

Masa

Saya sempat mendengar Ustazah bertazkirah lagi lewat corong radio sejurus sebelum masuk waktu Zohor. Dia bercakap tentang masa dengan memetik kata-kata aktivis pertubuhan Islam di Amerika Syarikat, Dr Hisham Yahya Al-Talib yang bertanya, "Apakah yang terpanjang, terpendek, terpantas dan sangat perlahan, kita semua tidak mengendahkannya, tetapi selepas itu, kita semua menyesalinya? "Tiada apa pun yang dapat dilakukan tanpanya, ia menelan segala yang kecil dan membina segala yang besar?"  
 
Itulah masa. Masa adalah yang terpanjang kerana masa adalah ukuran keabadian dan juga yang terpendek. Hal ini kerana tiada seorang pun antara kita yang mempunyai masa yang cukup untuk menyiap atau menyempurnakan segala tugas dalam kehidupan.Ia memang berlaku dalam kehidupan kita.

Bila kita rasa sangat gembira, masa berlalu terlalu cepat. Tetapi ketika menderita, masa berlaku terlalu lambat. Tiada apa-apa pun yang dapat dilakukan tanpanya. Hal ini kerana masa adalah satu-satunya pentas kehidupan kita. Masa juga adalah unsur asas bagi pembentukan kehidupan.

Masa menelan semua yang tidak berfaedah daripada generasi dalam bentuk kelalaian dan mengekalkan semua yang hebat dan berharga. Manusia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, manusia malang iaitu kumpulan yang murung atau pasif yang selalu memulakan sesuatu pada keesokan hari atau dengan perkataan lain, suka bertangguh.

Satu kategori lagi ialah kumpulan manusia yang hebat dan bersedia melakukan sesuatu berfaedah dengan segera. Bagi mereka tidak ada hari esok. Membuang masa bukan hanya satu jenayah biasa, sebaliknya satu pembunuhan kejam. Ramai percaya kepada ungkapan masa itu emas atau masa itu wang. Anehnya, kita tidak pernah terfikir untuk membiarkan sesiapa pun mencuri wang kita walaupun hakikatnya membiarkan manusia serta benda lain meragut masa kita.

Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, buku catatan sudah tersedia untuk dipenuhi dalam masa 24 jam. Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: "Pada setiap kali terbit fajar, ada dua malaikat menyeru: "Wahai anak Adam, aku adalah hari yang baru dan aku datang untuk menyaksikan semua amalan kamu. "Oleh itu manfaatkan aku sebaik-baiknya kerana aku tidak kembali lagi hingga Hari Kiamat."

Pada setiap hari, masa perlu diisi dengan perkara berfaedah dan mendatangkan kebaikan sama ada di dunia atau akhirat.  Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita boleh berfikir dan merancang pekerjaan yang mendatangkan keuntungan di dunia dan akhirat. Rasulullah mengajar kita pelbagai amalan yang boleh dilakukan pada minit terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja.  Apa-apa yang diajar kepada kita, sebenarnya sangat mudah. Tetapi, faedahnya cukup besar, terutama sebagai bekalan untuk menghadapi hari kemudian yang semakin hampir.

Antaranya ialah membaca Surah al-Mulk. Surah yang mengandungi 30 ayat itu boleh dibaca dalam masa lima minit saja. Surah ini jika dibaca setiap hari dapat menyelamatkan kita daripada seksaan kubur. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku bercita-cita supaya surah ini terpahat dalam hati setiap insan dari kalangan umatku."

Surah al-Waqi'ah yang mengandungi 96 ayat dan boleh dihabiskan dalam masa lapan minit juga elok dijadikan amalan. Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca Surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan menjadi papa selama-lamanya."


Mungkin ada yang berasa sukar untuk membaca surah di atas jika tidak menghafaznya. Bagi mereka ada gantinya. Bacalah 'Qul Huwallahu Ahad' (Surah al-Ikhlash) sebanyak tiga kali yang mengambil masa 15 saat saja. Pahalanya menyamai dengan membaca sebuah al-Quran!

Zikir tertentu sangat besar gunanya. Dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang berkata 'Subhanallah wa biham dihi' ditanamkan untuknya sebatang pokok kurma di syurga." Dalam riwayat lain Baginda bersabda bermaksud: "Sesiapa yang berkata 'Subhanallah wa biham dihi' 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan."

Masa memang perlu dirancang jika tidak berlalulah ia dengan sia-sia. Pun begitu, wajar diingat bahawa apa-apa pun yang dilakukan harus berdasar kepada keimanan yang tulus suci dan keikhlasan yang murni.  Tanpa keikhlasan amalan itu tidak bermakna dan hancur laksana debu berterbangan.

Amalan baik yang dilakukan dengan perancangan betul, berlandaskan keimanan dan mengharap rahmat serta reda Ilahi pasti membuahkan kejayaan baik di dunia mahupun akhirat.

Cepatnya masa berlalu!

Pena Tumpul - Pesan untuk diri yang kadang-kadang lupa

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...