Skip to main content

Muflis

Ustaz yang dijemput untuk menyampaikan ceramah sempena Maulid Rasul sangat-sangat menarik perhatian yang hadir di masjid Kg Gudang Garam. Ustaz dari Mesir ini fasih berbahasa Melayu malah mencuit hati dengan loghat Negeri Sembilan. Ramai juga yang hadir.

Banyak juga perkara yang disentuh oleh Ustaz dari Gombak ini. Bermula dengan tuntutan berselawat ke atas Nabi Muhammad, juga tentang keperluan menjaga makanan. Namun bicaranya tentang muflis sangat menarik perhatian. Bukan muflis atau bankrap bila tiada duit dan harta, namun lain pengertiannya.

Ustaz ini membacakan hadis Nabi tentang siapakah yang dikatakan muflis itu. Menurut Baginda, ” Orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak dengan berbekalkan pahala solat, puasa dan zakat. Dalam masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah , memakan harta orang, menumpahkan darah orang dan memukul orang. Lalu diambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis.Kemudian ia dihumban ke neraka !

Segala kira bicara di akhirat kelak adalah berdasarkan ”matawang dosa pahala”. Ketika itu ringgit sudah tidak laku, begitu juga riyal , dolar dan sebagainya. Manusia yang besar modal pahalanya, dia akan bergembira dan bersenang lenang. Manakala yang kekurangan modal, pasti tercari-cari tempat bergantung yang sudah pasti tiada lagi. Bertambah malang lagi apabila modal yang sedikit terpaksa dibayar kepada manusia lain yang pernah menjadi mangsanya di dunia dahulu. Tiba-tiba kehabisan modal , tetapi masih belum selesai hutang yang dituntut , maka dia dipaksa pula oleh malaikat untuk memikul dosa mangsa..

Memaki hamun orang lain  seperti pekerja , orang miskin , orang-orang yang lemah , apatah lagi isteri atau ibu bapa sendiri , hanya mampu memberikan kepuasan sementara kepada seseorang , tetapi bahananya menanti di akhirat kelak. Begitu juga pemfitnah, dia begitu seronok melihat mangsa fitnahnya dibenci masyarakat atau dikenakan tindakan tertentu di dunia , tetapi dia pasti menyesal apabila diminta membayar pahalanya kepada mangsa fitnah tersebut. Menyesal ketika itu sudah tiada manfaatnya. Bak kata pepatah Melayu, ”menyesal dahulu pendapatan , menyesal kemudian tiada gunanya.”

Kata Uztaz lagi, ada dua pilihan sahaja untuk mengelakkan diri dari diisytihar muflis di akhirat. Samada tidak melakukan dosa-dosa kepada manusia. Atau , sekiranya telah melakukannya, mestilah memohon maaf dan redha kepada mangsa ketika di dunia lagi. Biarlah bersusah payah dan menahan malu ketika di dunia kerana ini lebih baik daripada diisytihar muflis di akhirat kelak.

Pena Tumpul - Lebih baik berdiam diri

Comments

Popular posts from this blog

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...