Skip to main content

Evolusi

Saya berjumpa kawan-kawan yang sudah lama tidak ditemui di majlis perkahwinan anak KakLong di Johor Baharu. Sudin sudah tidak ditemui sejak 20 tahun yang lalu. Nan pula sudah 10 tahun tidak bersua muka. Banyak yang berubah. Nan menegur uban yang sudah mula tumbuh di kepala saya. Dia apa kurangnya. Misai tebalnya dicelahi dengan beberapa helai uban yang nyata di pandangan. Sudin turut mengusik saya tentang rambut yang kian luruh di kepala. Ternyata masa merubah rupa dan gaya.

Dulu kami sama-sama membesar di kampung. Bermain bersama bola plastik berharga 50 sen di laman rumah dengan bergolkan pokok kelapa. Kami tidak kenal 'playstation", "computer games". Kereta "control" pun tidak pernah terlintas difikiran kami. Yang saya ingat kami cukup seronok bermain permainan yang kami buat sendiri. Saya masih ingat kami keliling satu kampung menolak rim basikal dengan kayu dan cuma pakai seluar pendek dan singlet. Habis berdebu pakaian kami terkena rim yang kami seret itu. Balik rumah terpaksalah menahan leteran emak mengasak telinga. Kami memang kreatif masa itu. Dengan buluh dan biji cenerai mampu kami hasilkan permainan bagaikan pistol dan tidak perlu keluar modal pun. Kalau terkena badan sakit juga penangan peluru biji cenerai ini. Sekarang, bila kami balik kampung pokok cenerai atas busut itu sudah tiada lagi. Sudah lama kena tebang. Tin susu pun boleh dijadikan permainan yang cukup menarik. Kami tebuk di kedua-dua belah tin susu, kemudian masukkan kayu bulat di celahnya dan jadilah kereta dua roda yang kami tolak keliling kampung.
Seronok dan memang menghiburkan bila terkenang zaman kecil-kecil sewaktu di kampung dulu.

Kini segalanya telah berubah. Anak-anak sekarang tidak bermain apa yang kami main dulu. Di tangan mereka tidak lekang dengan pelbagai "computer games" yang boleh di bawa ke sana sini.
Majlis perkahwinan pun turut berubah cara dan gaya. Dulu dan sekarang jauh bezanya. Saya ingat balai makan bertiangkan cuma batang kayu hutan dan mejanya pula buluh-buluh yang di ikat panjang-panjang bagaikan lantai rakit dan bertiangkan kayu hutan juga. Tiang pula dihias dengan daun-daun kelapa. Mudahnya dan langsung tidak perlu keluar belanja sedikit pun. Kak Long berbelanja hangus lebih dua ribu ringgit hanya untuk balai makan belum lagi termasuk sewa pinggan mangkuk dan sebagainya. Bila saya ditugaskan untuk mencuci pinggan teringat saya waktu di kampung dulu. Bukan air yang digunakan tetapi cukup dengan hampas kelapa atau pun batang pisang.

Dulu majlis kahwin diserikan secara "live" dengan kugiran yang dibayar dari pungutan wang orang kampung. Lebih hebat dan bertenaga daripada "karaoke" sekarang. Ada juga yang mengundang ghazal untuk golongan tua. Melenggok-lenggoklah atok khayal dengan dendangan lagu ghazal dan petikan gambus yang merdu.

Kalau ada pun yang masih kekal sekarang cuma kompang itulah saja dan silat yang hampir nak pupus entah bila.

Pena Tumpul - Penat cuci pinggan masih terasa lagi

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...