Skip to main content

Cukai

Meja Isu lewat TV1 memaparkan surat yang ditulis oleh seorang pembayar cukai pendapatan kepada LHDN. Antara lain menulis yang dia tidak akan menghalalkan walau satu sen pun duitnya diambil oleh LHDN! Pembayar cukai ini ternyata geram benar dengan LHDN yang ditugaskan untuk mengutip cukai pendapatan setiap kali April menjelang. Kupasan isu yang cukup menarik apabila ada pihak yang mempertikaikan halal haramnya mengutip cukai.

Mengutip cukai itu haram? Ia tidak lebih soalan nakal yang dihamburkan oleh segelintir golongan yang mungkin liat untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara. Itu kata Kamal Afandi salah seorang panelis sebagai mengulas persoalan ini. Apa gunanya saya membayar cukai kalau jalan masih berlubang, pengangkutan awam masih parah, kemudahan kesihatan di tahap mengecewakan, mutu pendidikan masih rendah dan pelbagai soalan lagi yang dibangkitkan bagi merasionalkan kepada tidak perlunya untuk membayar cukai pendapatan.

Umum mengetahui bahawa mengikut akta cukai pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan bercukai mereka.Namun begitu, apabila ada pihak yang mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat ia tentunya sesuatu yang wajar diperbetulkan. Golongan ini berhujah dengan sebuah hadith nabi SAW yang bermaksud,

Pengutip cukai tidak akan masuk syurga (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

Kata Ustaz Abdullah Bukhari hadis ini perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan yang bakal timbul. Kalau tidak ia seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN yang mengutip cukai bagi pihak kerajaan menjadi haram dan zalim. Ia juga membayangkan bahawa semua kakitangan LHDN turut sama bersekongkol dengan pekerjaan haram yang bakal menghalang mereka ke syurga.

Katanya lagi, memang pada asalnya Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial dalam masyarakat. Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi di antara orang miskin dan orang kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada 8 kumpulan (asnaf) sahaja dan ia sama sekali tidak boleh disalurkan kepada golongan selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Tawbah[6:60]). Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi tujuan urus tadbir negara yang lain seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan sebagainya.

Sayyidina ‘Umar al-Khattab RA misalnya semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10% yang dipanggil ‘Usyur'kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari Negara musuh), 5 % kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah Negara Islam) dan 2.5% kepada peniaga muslim (Muwatta’ Malik & Sunan al-Bayhaqi). Pengurangan cukai diberikan kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.

Mekanisme cukai yang dibuat oleh ‘Umar ini tidak lain adalah untuk menampung perbelanjaan Negara Islam yang semakin mendesak. Kata Ustaz lagi, berpegang kepada zahir hadith yang menyatakan “pengutip cukai tidak akan masuk syurga” tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan Sayyidina ‘Umar masih lagi jahil sunnah nabi dan tidak akan ke syurga. Kenyataan ini ternyata bercanggah dengan sebuah hadis yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang sudah dijamin syurga (Musnad Ahmad).
Menurut Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadith yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif iaitu (Sahib Muks). Ringkasnya, perkataan Muks merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan kuncu-kuncunya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana yang sepatutnya. Akibat daripada cukai sebegini jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai sebegini.

Pembayaran cukai kepada negara sebenarnya mengandungi manifestasi jihad harta kerana keselamatan negara adalah agenda utama pemerintah sesebuah negara dan pastinya segala bajet melibatkan aspek keselamatan berpunca daripada sumber cukai yang dibaktikan oleh setiap rakyat.

Saya membayar cukai pendapatan hari ini kerana sekurang-kurangnya ia mengingatkan saya bahawa saya masih lagi mempunyai pekerjaan dan pendapatan. Dan tentunya saya lebih bernasib baik daripada mereka yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan pun.

Pena Tumpul - Untungnya duduk kampung kerana tidak perlu bayar cukai pintu

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...