Skip to main content

Ganjaran

Satu permulaan yang cukup baik dan menyelesakan. Malam tadi diberi kekuatan untuk solat Tarawih di masjid. Walaupun 8 rakaat dan bukan 20 rakaat namun saya cukup bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk saya bersama Ramadan lagi kali ini.

Kedatangan bulan Mubarak ini memang sentiasa dinantikan jengulnya justeru ia bulan untuk beramal dan mengumpul pahala berganda yang tiidak terhingga ganjarannya.Bulan untuk muhasabah diri.

Setiap kali kehadiran bulan mulia ini, ingatan mengimbau ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dulu. Tidak pernah penuh sebulan tetapi rongak di sana sini, lebih-lebih lagi di penghujungnya. Ketika itulah godaan dari segala sudut amat kuat dan tidak mampu untuk ditangkis. Sememangnya dugaan di hari terakhir amat hebatnya bukan kepalang. Terik panasnya berbeza dengan hari-hari sebelumnya.

Godaan dari rakan sekelas juga tidak kurang hebatnya. Masih segar diingatan di hari terakhir Ramadan, saya bersama empat rakan rapat Zul, Johari, Rosli, Zahanudin berpakat untuk curi-curi minum air paip di tandas sekolah. Seronoknya tanpa sedikit pun rasa bersalah kepadaNya. Bila pulang ke rumah, berpura-pura letih bagaikan berpuasa atau bakal menerima habuan dari arwah ayah. Ketika kami boleh bertahan tanpa masalah di hari-hari Ramadan yang lain, hari terakhir kami anggap begitu berat untuk kami akhiri dengan sempurnanya. Begitulah yang kami lakukan hampir saban tahun sehinggalah kami berada di darjah empat. Selepas itu, saya amat pasti puasa saya tidak pernah rongak lagi kecuali atas sebab-sebab yang betul-betul tidak dapat dielakkan.

Pena Tumpul - Akan berbuka puasa dengan emak di hari pertama Ramadan ini

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...