Skip to main content

Ahsanu

Faruk mengimami Solat Isyak dan membaca Surah Al-Mulk. Tidak pernah dia membaca surah ini sebelum ini. Saya kagum dengan kebolehan beliau menghafal surah 30 ayat ini. Saya tidak mampu namun sedang mencuba sedikit demi sedikit. Untuk menghafal surah yang panjang begini perlu kesabaran dan ketekunan.
Apa yang kita boleh ambil daripada Surah ini?

Kalau anda perasan, ayat 2 daripada Surah Al-Mulk bermaksud:

“Dia lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Ia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun,”.

Inilah yang dijelaskan oleh Faruk dalam tazkirah pendeknya sejurus selepas solat Isyak selesai.

Perhatikan: “…untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya”

Kata Faruk, Allah menggunakan kalimah ‘ahsanu’(terbaik) dan bukannya aksaru(terbanyak) dalam menyatakan tujuannya menguji manusia. Kenapa Ahsanu? Kenapa bukan aksaru?

Saya tidak perasan juga awalnya, berkenaan persoalan ini. Selama ini, saya hanya membaca dan mengambil ayat ini sebagai dalil bahawa Allah menciptakan kita dengan ujian untuk melihat bagaimana kita melalui kehidupan kita, dan bagaimana kita beramal dengannya.

Tetapi, persoalan kenapa Allah menggunakan kalimah Ahsanu dan bukan aksaru, dijelaskan oleh Faruk. Dia melemparkan soalan yang akhirnya dijawabnya sendiri.

Faruk bertanya: “Kenapa?”Kenapa ahsanu? Kenapa bukan aksaru? Kenapa terbaik? Kenapa bukan terbanyak.

Dia mengemukakan analogi mudah ini. Katanya, secara lazimnya kita akan melihat bahawa orang yang menderma RM1000 lebih pemurah dari orang yang mendermakan RM10.Dan biasannya, kalau kita nampak orang yang solat 20 rakaat tarawih, kita akan katakan dia lebih baik dari orang yang solat 8 rakaat tarawih.

Kita, manusia, biasa mengukur sesuatu itu dengan bilangan. Banyak, maka kita akan katakan itu baik. Sedikit, maka kita akan pandang rendah seakan ia tidak bernilai.

Lalu,kenapa ahsanu? dan kenapa bukan aksaru?

Faruk merungkaikan persoalan itu. Katanya, kalau kita melihat dari segi penerimaan amal, adakah Allah menerima amal berdasarkan bilangan, atau berdasarkan bagaimana amal itu dilakukan? 20 rakaat tarawih yang dilakukan secara tergopoh gapah, ataupun tanpa wudhu’, adakah lebih baik dari 8 rakaat yang dilakukan dengan tenang, teratur, dan dengan wudhu’ yang sempurna?

Dan RM1000 yang diderma dalam keadaan terpaksa, atau menunjuk-nunjuk, adakah lebih baik dari RM10 yang didermakan dalam keadaan ikhlas, menderma dalam keadaan tangan kiri tidak mengetahui?

Begitu juga menghabiskan bacaan Al-Quran 30 juzu’ dalam keadaan tajwid tunggang langgang, tergopoh-gapah, adakah lebih baik dari membaca 10 helai muka surat AL-Quran dalam keadaan tajwid teratur, tenang?

Kadang-kadang, kita rasa berbangga apabila kita dapat bangun qiamullail, dapat puasa, dapat zikir 1000 kali, atau dapat melakukan amal-amal yang kita rasa jarang-jarang kita buat.

Banyak juga amal aku", kita akan rasa begitu.

Tambah Faruk lagi, pernah satu ketika, Rasulullah SAW bersabda di tengah-tengah sahabat-sahabatnya: “ Akan berlalu di hadapan kalian selepas ini seorang ahli syurga”

Dan berlalulah seorang lelaki. Esoknya, Rasulullah SAW mengulang lagi kata-kata yang sama, dan lelaki yang sama juga keluar. Lusanya, Rasulullah SAW mengulang lagi kata-kata baginda, dan lelaki yang sama juga keluar.

Salah seorang sahabar Rasulullah, mempunyai rasa ingin tahu, apakah amal lelaki itu sehingga dia mendapat ganjaran syurga. Maka dia mencari alasan untuk bermalam di rumah lelaki itu selama tiga hari. Namun, dia tidak melihat lelaki itu bangun mengerjakan qiamullail. Pendek kata, amal lelaki itu tidak banyak, dan tiada pula perbuatan-perbuatan istimewa yang kelihatan pada lelaki itu.

Selepas tiga hari, sahabat Rasulullah SAW pun bertanya:

“Aku mendengar Rasulullah SAW menyatakan bahawa engkau ahli syurga, tetapi aku tidak melihat pada engkau ini seorang yang bangun malam bersolat, dan tidak pula aku melihat kau mempunyai apa-apa amal yang istimewa. Maka beritahulah kepada aku, apa yang telah engkau kerjakan?

Lelaki itu menjawab: “ Aku sebagaimana yang engkau lihat, tiada apa yanng istimewa dan tidak pula banyak amalnya. Tetapi dalam hatiku, tiada sedikit pun rasa hasad dan sangka buruk kepada saudara muslimku yang lain”

Nah, tanpa qiamullail, tanpa zikir banyak-banyak, tetapi hanya dengan itu, dia berjaya mendapat tempat di syurga. Kerana amalnya yang satu itu, Allah kira sebagai yang terbaik.

Sebab itu, kita tidak perlu tergopoh gapah dalam memperbanyakkan amal kita. Kata Faruk,

" Amal yang sedikit tetapi berterusan itu, lebih baik dari amal banyak, kemudian tidak berterusan"

Pena Tumpul - Bukan berapa tapi bagaimana?

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...