'Kenapa lambat? Kan janji pukul 10 pagi? Sekarang dah jam 11...'
'Maaflah, aku ada hal tadi.'
'Ah, kau ni memanglah, janji Melayu...'
Begitu orang Melayu dikaitkan dengan masa. Kurang mengambil berat. Lalu kalau masa tidak pernah ditepati, ia amat berkait rapat dengan Melayu.
Tidak cukup dengan itu, ada yang mengutarakan tabiat stereotype Melayu. Antaranya Mat Melayu suka berkelompok di bawah pokok sambil main gitar, Mat Melayu suka bola sepak dan Mat Melayu suka bermotosikal dan suka merempit.
Remaja Melayu juga dikatakan suka bertatu dan terjebak dalam seks bebas sampai melahirkan banyak anak luar nikah. Dikhabarkan juga orang Melayu suka kahwin muda dan suka bercerai-berai. Yang tidak sedapnya pula orang Melayu penagih, bahkan penagih kelas rendah kerana hidu gam justeru tidak mampu nak beli dan hidu heroin!
Lagi, anak Melayu dikatakan hanya boleh cemerlang dalam mata pelajaran bukan Sains. Anak Melayu dungu dalam Matematik. Orang Melayu bergaji rendah dan orang Melayu suka banyak anak tetapi tidak pandai pula jaga anak. Seterusnya orang Melayu suka bergaya dan mudah terpedaya dan terpesona dengan ketrampilan. Orang Melayu suka beli peti TV yang besar-besar, tukar perabot setahun sekali. Orang Melayu suka sangat hiburan.
Makanan orang Melayu kononnya tidak sihat, kerana itu orang Melayu banyak jatuh sakit dan satu lagi orang Melayu suka buat 'janji Melayu' (memungkiri janji)!
Betulkah begitu sifat orang Melayu? Perlukah kita bersetuju?Masih relevan lagikah?
Usman Awang dalam puisinya pula melihat Melayu begini;
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
Siapa Melayu itu?
Pena Tumpul - Atok dari Sumatera
Comments