Saya mengajukan soalan ini kepada Haziq yang kebetulan melihat saya meracun hari ini. Dia tidak percaya pun kerana mana mungkin tanah ini ada harta karun. Saya bergurau katanya. Haziq masih terlalu muda untuk menangkap maksud saya yang tersirat. Mungkin yang tergambar dalam fikirannya peti-peti mengandungi wang-wang emas dan perak seperti yang selalu dilihatnya dalam cerita-cerita di tv. Itulah harta karun padanya dan mungkin pada kebanyakan kita.
Saya tahu dia suka dengar cerita. Saya ceritakan kisah seorang bapa dan tiga orang anak lelaki. Di ambang kematiannya, si bapa memberitahu tentang harta karun yang sudah lama disimpannya dalam tanah belukar miliknya yang tinggal terbiar. Dua anak pertamanya cukup teruja kecuali yang bongsu. Yang tua bertanya kedudukan harta karun itu supaya senang untuknya menggali nanti. Anak kedua turut teruja sehingga menanya jumlah peti yang ditanam.
Tanah mula diteroka segenap pelusuk. Kedua-duanya gagal menjumpai harta yang dikata. Hati panas dan mula mengata yang bukan-bukan tentang bapa yang telah tiada. Kerana amat keciwa, kampung ditinggal pergi menuju kota meninggalkan adik yang bongsu sendiri.
Berpegang pada pesan bapanya, yang bongsu tanah semak terbiar diusahakan. Ditanam dengan pelbagai tanaman. Hasilnya menjadi bukan kepalang. Lama kelamaan dia menjadi seorang pengusaha yang amat berjaya. Dia cukup mewah memakan hasil ladang tanamannya.
Kerajinan, ketabahan dan sikap tidak putus asa dalam berusaha itulah yang menemukannya kepada harta karun!
Pena Tumpul - Tiada jalan pintas untuk berjaya dalam hidup
Comments