Skip to main content

Tegur

Saya berurusan dengan seorang jurujual wanita di kaunter. Ia cuma sebuah kedai kecil di sebuah hospital di salah sebuah bandar besar di Pahang untuk kemudahan orang ramai.

Panjangnya mereka yang berbaris menunggu giliran membuat bayaran. Saya berada di kedudukan yang agak terbelakang.Saya melihat jurujual ini macam tidak berapa selesa berdepan dengan suasana begini. Itu pun berdasarkan kepada komunikasi tanpa lisan yang dimanifestasikan dari riak wajahnya. Saya mungkin silap dan tidak sangat adil untuk membuat penilaian begitu.

Saya lihat dia tidak mengukir senyum pun. Kalau pun senyum, ia kelihatan agak pahit. Di papan kenyataan di sisinya saya juga mampu melihat dengan jelas ungkapan yang cukup menarik. "Kalau saya tidak senyum, tidak ucap terima kasih, tidak ucap salam dan selamat sejahtera tegurlah saya". Ia tentunya peringatan yang bagus untuk petugas yang saban hari berurusan dengan pelanggan kerana tidak dinafikan setiap gerak gerinya akan jadi perhatian. Kebetulannya saya memang cukup memberi perhatian tentang perkara-perkara begini. Saya suka berpandangan apa yang dilakarkan di atas kertas perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan.

Saya diberi keberanian untuk menegurnya. "Cik, senyumlah sikit. Tengok kat papan kenyataan tu". Saya terharu dan bangga kerana dia menerima teguran saya secara terbuka. Senyuman terukir walau kelihatannya tidak asli dan bagai dipaksa. Tidak kiralah apa pun justeru dengan senyum pelanggan yang berurusan akan juga rasa bahagia.

Saya beredar dan dari jauh saya melihat senyuman manisnya yang tidak dibuat-buat lagi!

Pena Tumpul - Kadang-kadang ada yang sukar nak senyum kerana segan tiada gigi

Comments

Popular posts from this blog

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...