Skip to main content

U

Hafiz yang petah berkeletah dan amat sensitif dengan apa yang dilihat dan didengarnya di sekelilingnya mengajar saya satu perkara petang ini. Hafiz bukanlah cukup dewasa untuk didengar pandangannya. Dia cuma seorang anak saudara saya yang baru berusia lima tahun.

Namun petang ini bila membawanya bersama pusing-pusing bandar  jeritannya benar-benar mengejutkan saya yang sedang fokus memandu.
"Uda,! huruf U. Kenapa ada huruf U kat tengah jalan ni," dia bertanya.

" Huruf U itu nak ingatkan Hafiz supaya rajin baca buku. Hafiz kan tak suka baca buku. Asyik nak beli mainan aja", saya berseloroh. Saya tahu dia tidak puas hati dengan jawapan saya. Saya tinggalkan dia berinteraksi dengan apa yang dilihatnya di sekelilingnya. Biarkan dia seronok begitu, berinteraksi dengan alam.

Sememangnya tanda U ini memang cukup penting dan memang perlu ada di jalanraya. Bila kita tersalah dan tersesat jalan, tanda U inilah yang kita cari dan harapkan. Bila berjumpa tanda ini ia memberi kelegaan bahawa kita boleh pusing balik dan seterusnya meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin kita tuju.

Begitulah juga dalam hidup ini. Hidup juga sebuah perjalanan dalam menuju satu destinasi. Adakalanya kita tersesat jalan dan tersasar arah malah terlencong. Namun kita selalunya diberi peluang untuk pusing balik dan bermula semula untuk menuju arah yang betul. Paling penting tidak memasuki jalan yang sama itu sekali lagi!

Pena Tumpul -  Banyaknya yang kita boleh belajar daripada tanda jalanraya dalam mengemudi hidup

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...