Skip to main content

Pengarah

Selalunya, sebuah drama menjadi menarik untuk ditonton kerana pengarahnya. Skrip yang baik pun sekiranya jatuh ke tangan pengarah yang tidak baik akan berkesudahan dengan sebuah drama yang hambar dan membosankan. Selain daripada Rashid Sibir, saya tidak pernah tertarik untuk menonton drama yang dihasilkan oleh pengarah lain. Sebabnya mudah- jalan cerita lebih menjurus kepada soal cinta. Ia adalah tema yang sudah selalu sangat diketengahkan lalu ia tidaklah menarik lagi untuk ditonton.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan sebuah drama yang berwajah Islamik namun persembahannya tidak pula Islamik. Begitulah jadinya kalau pengarah yang separuh masak diminta memasak sebuah skrip tanpa ramuan yang sempurna sifatnya. Menggunakan wajah Islamik untuk meraih minat penonton bukanlah tindakan yang bijak sebaliknya menjatuhkan martabat Islam itu sendiri di kacamata orang bukan Islam.

Saya melihat sudah sampai masa dan ketikanya graduan yang berpendidikan Islam masuk ke kancah pembikinan drama ini. Saya kira dengan berlatarbelakangkan pendidikan Islam, pastinya tidak akan ada adegan yang melanggar batas-batas syariat Islam. Tiada pegang tangan bukan mahram, apatah lagi adegan-adegan yang tidak sangat sanggup kita lihat dipaparkan di kaca tv. Malangnya graduan begini banyak memilih untuk menjadi ustaz,sedangkan membikin filem atau drama Islamik juga adalah medium dakwah yang berkesan.

Pun begitu, ianya tidaklah sebegitu mudah untuk dilaksanakan terutama dalam suasana realiti industri hiburan sekarang. Namun begitu, ia bukanlah juga mustahil untuk dilaksanakan. Dari segi industri muzik alhamdulillah, kita punya banyak pilihan untuk hiburan alternatif yang mampu mendidik jiwa. Cuma dari segi drama dan filem, inilah menjadi cabaran bagi seluruh penerbit/pengarah/penulis skrip Muslim untuk memberikan sebuah nashkah drama/filem yang berunsur Islamik dan berkualiti kepada penonton. 

Bila Islamik, tidak semestinya wajib buat cerita tentang masjid, surau, pondok-pondok pengajian agama dan sebagainya. Kalau dibuat cerita tentang rempit sekalipun, tetapi jika punya unsur Islamik yang berkesan, pastinya filem/drama/program tv tersebut mampu menjadi antara katalis(pemangkin) dakwah yang berkesan dapat dihidangkan kepada ruang lingkup penonton/audien yang lebih luas.

Untuk mewujudkan suasana industri hiburan seperti itu, maka para penggiat Muslim perlulah mempunyai jiwa seorang Muslim, yang punya ilmu tentang pegangan agamanya yang kukuh. Teringat saya kata-kata seorang ustaz dalam sebuah kuliah, kita nak jadi apa sekalipun dalam hidup ini, letaklah Islam itu yang tertinggi sekali dalam diri kita, kalau jadi engineer, engineer yang Islamik, kalau jadi arkitek, arkitek yang Islamik, hatta jadi mat rock sekalipun, jadilah mat rock yang Islamik yang mampu memberi kebaikan dan manfaat kepada orang di sekelilingnya.

Pena Tumpul- Muak dengan kebanjiran drama berpuluh-puluh episod yang sebenarnya boleh dihabiskan dalam satu episod pun

 

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...