Skip to main content

Hadiah

Saya diberikan hadiah yang saya kira sangat istemewa hari ini. Dan saya rasa sangat-sangat terharu. Hadiahnya mungkin tidak mahal namun sangat tinggi nilainya. Hadiahnya cuma nasi bungkus. Seketul ayam masak lada hitam dan sedikit goreng bayam. Tidak ketinggalan juga sebungkus air sirap. Pada hemat saya harganya tidak sampai lima ringgit pun. Hadiah ini datang dan diberikan kepada saya pada waktu yang sangat tepat. Seawal pagi lagi saya sudah mengambil keputusan untuk tidak keluar makan tengahari seperti selalu. Saya bercadang untuk makan-makan ringan sahaja sekadar terjangkau apa yang ada di dalam bilik sahaja. Namun rezeki datang tidak diduga. Saya menyelamatkan dua perkara- masa dan juga tenaga dan tentunya sedikit ongkos juga. Saya sangat-sangat berselera menjamunya. Tidak putus-putus saya mengucap syukur kepadaNya.

Selalunya, hadiah walau pun tidak sangat mahal harganya jika diberikan pada waktu yang tepat dan betul, akan dihargai setinggi langit. Sebaliknya, hadiah berapa pun tinggi harganya, tidak mungkin akan dihargai sekiranya diberikan pada waktu yang salah dan orang yang juga salah. Memberi hadiah kepada yang salah tidak ubahlah seperti memberi cincin kepada si kodong.

Saya membaca kisah yang sangat menarik tentang hadiah ini dan saya kira wajar untuk dikongsi bersama. Ia berkisar tentang tiga orang adik beradik yang membelikan hadiah yang berbeza untuk ibu mereka yang telah tua. Mereka bertiga membesar dan merantau jauh sehingga berjaya dan hidup kaya raya.Anak yang sulung menghadiahkan sebuah banglo mewah untuk ibunya. Anak yang kedua pula membelikan sebuah kereta sangat mewah lengkap dengan seorang pemandu, manakala yang bongsu membelikan seekor burung kakak tua yang boleh membaca buku dengan harapan burung ini boleh membacakan buku untuk ibunya yang sudah tidak jelas penglihatannya.

Tidak lama kemudian, ibu mereka menulis surat kepada ketiga-tiga anaknya itu. Isinya sangat menarik dan terselit mesej yang tersirat. "Along,rumah yang kamu bagi sangat besar sedangkan ibu duduk dalam satu bilik saja,tapi ibu perlu kemas seluruh rumah""Angah,ibu dah terlampau tua untuk mengembara.ibu banyak menghabiskan masa di rumah saja.ibu jarang guna kereta tu.lagi pun ibu tak suka perangai pemandu tu""Ucu yang disayangi,kamu tau apa yang ibu suka..memang daging burung itu lazat sekali!"

Pengajarannya, berilah hadiah yang betul.

Pena Tumpul - Kasih sayang seorang ibu adalah hadiah yang tidak ternilai harganya

Comments

PENA KASIH said…
Sememangnya kasih sayang seorang ibu tidak pernah putus tapi kita sebagai anak kadang-kala lupa akan pengorbanan ibu.Hargailah ibu selagi mereka masih ada....jangan sakiti hati ibu.

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...