Skip to main content

Bencana

Di ruangan motivasi pagi lewat TV3 hari ini  seorang Ustaz bercakap tentang bencana. Bukan bencana alam tetapi bencana amal. Bencana yang berlaku berpunca dari amalan yang kita lakukan. Amat menarik bila penceramah ini berkongsi gambaran yang diberikan oleh Rasulullah tentang wujudnya tiga golongan manusia dalam masyarakat. Ia digambarkan dalam sebuah perumpamaan yang cukup menarik untuk diteliti.

Sebuah bahtera yang belayar di lautan luas, di mana penumpang di bahagian bawahnya amat memerlukan air. Maka berlakulah perbincangan di kalangan penumpang-penumpang di tingkat bawah:

Penumpang #1: Aku tak kira. Bila aku dahaga aku mesti dapatkan air untuk diminum. Orang di tingkat atas memang tak pernah fikirkan keadaan kita di bawah ni.

Penumpang #2: Apa yang kecoh-kecoh ni. Kenapa tidak kau mintak saja dari penumpang di bahagian atas untuk dapatkan air untuk kamu.

Penumpang #1: Aaahh. Mereka bukannya kisah tentang keadaan kita. Takkan dilayannya permintaan kita ni. Lebih baik aku tebuk saja lubang pada badan kapal ni untuk dapatkan air

Penumpang #2: Ikut suka hati kau lah, yang penting kau tak kecoh-kecoh buat bising lagi. Jangan sampai mengganggu ketenteraman penumpang-penumpang lain di tingkat bawah ni.

Apabila Penumpang 1 nekad menebuk lubang, maka karamlah bahtera tersebut. Tenggelamlah kesemua penumpangnya tanpa mengira mereka sama ada penumpang di bahagian atas atau bawah.


1. Solihun (Golongan di tingkat atas bahtera / mereka yang mengemudi kapal): Inilah golongan orang-orang soleh yang terpelihara dari unsur kemaksiatan.

2. Sakitun (Penumpang #2): Golongan orang yang “bisu”. Kelompok masyarakat yang hidup nafsi nafsi. Hanya mementingkan diri dan keluarga mereka sendiri.

3. Ashabul Munkar (Penumpang #1): Mereka ini adalah pembawa unsur negatif dalam masyarakat. Golongan yang sering melakukan kemaksiatan serta merosakkan akidah masyarakat

Kata Ustaz, walaupun hanya Ashabul Munkar sahaja yang melakukan kemaksiatan, kesan kerosakannya jelas dirasai oleh setiap ahli masyarakat, tanpa pengecualian. Solihun dan Sakitun tidak ubah seperti golongan baik yang dibinasakan. Ini bertepatan dengan Firman Allah Ta'ala:

وَŲ§ŲŖَّŁ‚ُوا فِŲŖْنَŲ©ً Ł„َŲ§ ŲŖُŲµِيبَنَّ Ų§Ł„َّŲ°ِŁŠŁ†َ ŲøَŁ„َŁ…ُوا Ł…ِنْكُŁ…ْ Ų®َŲ§ŲµَّŲ©ً

“Takutilah olehmu akan fitnah (azab bencana) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di kalangan kamu dan ketahuilah, bahawa Allah amat keras seksaannya.” (Al-Anfal:25)

Fitnah itu pasti akan menimpa ke atas mereka yang zalim iaitu orang yang telah melampaui batas-batas Allah. Manakala orang yang tidak menegah orang zalim dari kezaliman di sini ada dua kemungkinan. Kemungkinan pertama dia dianggap tidak zalim kerana dia tidak bersubahat dengan orang zalim itu. Kemungkinan kedua mereka dianggap zalim kerana tidak menegah orang zalim padahal perbuatan zalim itu wajib dihalang.

Islam tidak berpada dengan kesolehan seseorang individu, sehinggalah ia melakukan sesuatu supaya orang lain juga turut baik.

Pena Tumpul - Satu kapal

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...