Pada 3hb Januari lalu saya ke pejabat Pos UiTM dengan satu tujuan iaitu ingin mendapatkan buku bertajuk Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman. Dorongan untuk memiliki buku karya Prof Dr Kamil ini terbit setelah membaca kupasan demi kupasan yang cukup menarik dari mereka yang telah mula membacanya.Ternyata setelah menelusuri helaian demi helaian, pandangan mereka yang telah memabacanya tentang "keistemewaan"nya tidak mampu saya sangkal. Saya sendiri terpukau untuk terus membaca dan sekali gus mengutip pelbagai ilmu dan iktibar. Pengalamannya menunaikan Haji disampaikan dengan menarik sekali. Penuh jujur dan ikhlas, tanpa selindung. Saya berani mengatakan buku ini padat dan sarat dengan panduan yang tidak rugi untuk dimiliki bagi mereka yang sudah mendapat "surat jemputan" dariNya untuk menjadi tetamuNya.
Saya kagum dengan kejujuran dan keikhlasan Prof. Dr Kamil Jujur sejujurnya. Malah begitu berani mendedahkan segala kelemahan yang ada dalam diri. Cepat saya menangkap bahawa Prof memang berniat murni dengan tulisan dan coretan pengalamannya, lantas tidak segan silu menelanjangkan segala kekurangan yang dimiliki. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana penulis pun saya kira. Bagi saya tajuk "Mengubah sempadan Iman" dimanifestasikan secara langsung oleh Prof, lewat perubahan dalam diri sebelum dan selepas menunaikan rukun Islam kelima ini.
Bagi saya Prof. cuba memberi dimensi dan perspektif baru dalam menunaikan Haji namun masih dalam lingkungan tuntutan dan keredaan Ilahi. Mengerjakan ibadat ini tidak lagi harus dilihat dalam kepompong ritual tetapi menuntut lebih dari itu - pengabdian sepenuhnya kepadaNya dan hasilnya keredaanNya yang tidak ternilaikan yang dapat diterjemahkan dalam peningkatan Iman, kecintaan kepadaNya dan semakin rindu untuk mengabdikan diri padaNya. Maaf kalau saya gagal menjangkau apa yang bermain di fikiran Prof. sehingga tercetusnya sebuah buku yang saya tahu begitu laris di pasaran kini.
Pada saya, tidak ada mana-mana bab pun yang perlu dilangkau secara sengaja justeru nilai informasi dan ilmunya. Semuanya menarik dan penuh cerita dan pengajaran. Prof. pada saya berjaya untuk lari dari kebiasaan sebahagian besar penunai Haji yang lain, seperti yang digambarkan oleh Prof. untuk mengekang diri dari kegilaan "shopping", memilih untuk solat diMasjidil haram daripada sekadar solat di hotel,malah lebih selesa untuk tidak dihantar oleh rombongan sehingga ke Kelana Jaya sebagaimana lazimnya.
Sebenarnya terlalu banyak untuk dihamparkan akan keistemewaan buku Prof ini.
Namun ada dua perkara yang amat menarik hati saya, bila Prof kata semua orang boleh jadi malaikat dan wali Allah di bumi Mekah. Dakwaan Prof yang pada mulanya dimomokkan oleh jemaah haji yang lain sebenarnya tidaklah benar. Prof yang sentiasa positif dalam keinginannya membuktikannya sesiapa pun boleh jadi wali Allah sekiranya dia mahu. Pengalamannya membantu seorang lelaki tua dari Turki dalam kesesakan mencari jalan keluar begitu menyentuh perasaan. Amat menarik. Bacalah sendiri. Lepas ini nanti kita tidaklah lagi berasa hairan mendengar cerita jemaaah Haji yang pulang membawa cerita berjumpa seorang yang tiba-tiba membantunya dan terus pergi. Itulah kelebihan Prof melihat episod ini dari sudut yang lebih bermakna dan sekali gus menuntut sepenuh keyakinan kepadaNya.
Haji perlukan persediaan yang bukan sedikit. Hati, fizikal, emosi, rohani perlu dicanai, dicuci dan dibilas sebersih-bersihnya. Penyerahan hati dan jiwa yang kudus kepadanya dan komunikasi secara langsung kepadanya. Prof ternyata amat terus terang dan praktikal dalam doanya kepada yang Esa. Tidak percaya bacalah betapa Prof tidak lokek untuk berkongsi dengan pembaca tentang doa-doa yang dibacanya memohon bantuan Ilahi dalam memudahkan perjalanan Hajinya. Allah yang maha mengetahui itu tidak menuntut kita untuk berbahasa Arab ( sebagaimana lazimnya) kalau kita ikhlas mengadu kepadaNya. Ia bukan omong kosong. Bacalah buku ini dan lihatlah kebesaran Allah dan kekerdilan makhluknya.
Akhirul kalam, tidak rugi memiliki buku ini. Tahniah Prof kerana berjaya melahirkan buku yang sarat dengan pengajaran dan panduan serta paparan kebesaran Tuhan. Paling penting buku ini amat mesra pembaca. Baca dulu baru tahu. Saya baru selesai setelah sebulan membacanya, tetapi akan terus membacanya lagi.
Comments