CAKAP-cakap tentang harga minyak naik masih lagi kedengaran di sana sini. Merungut, mengomel, mengeluh, memberontak apatah lagi menyuarakan rasa geram dan berang dengan berdemonstrasi tidak akan menyelesaikan masalah. Cuma apa yang diharapkan tidak akan berlaku kesan rantaian ekoran kenaikan harga minyak.
Dalam kemelut ini pengguna akan terus menjadi mangsa yang tertekan dan terbelenggu sementara peniaga-peniaga akan terus mengaut keuntungan yang berlipat-lipat ganda. Jangan biarkan ini berlaku. Kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat untuk mengurus negara perlu melakukan sesuatu yang paling terbaik dan berkesan untuk membanteras kegelojohan pihak yang mengambil kesempatan ini.
Kerajaan perlu tegas. Jangan bertindak bagai melepas batuk di tangga dan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Pendapatan yang dibawa pulang setiap bulan tidak akan membawa makna apa-apa kalau kuasa beli pengguna semakin menyusut akibat diratah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Rakyat mungkin boleh menerima kenaikan harga minyak tetapi tidak dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain. Dalam menangani krisis kenaikan harga minyak ini semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dan tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata.
Kegetiran dan kesengsaraan perlu dikongsi bersama. Rakyat terbanyak lebih-lebih lagi kalangan yang berpendapatan rendah tidak sewajarnya dibiarkan menggalas beban sendirian. Ringan sama dijinjing dan berat hendaklah sama dipikul.
Sekiranya kita pernah senang bersama-sama dahulu, kini bila kepayahan menimpa, sudah se- patutnya semua pihak tidak kira yang kaya mahupun yang miskin sama-sama merasai bahang panas dan tempias hujannya.
Semua pihak perlu malah amat dituntut untuk mengamalkan sikap tanggungjawab sosial lebih- lebih lagi dalam mengharungi keperitan harga minyak yang tinggi sekarang. Peniaga janganlah cuba menahan jerat di pergentingan dengan menaikkan harga barang keperluan harian sesuka hati.
Buanglah sikap untuk mengaut keuntungan besar ketika pengguna sebenarnya tidak punya banyak pilihan selain daripada terus membeli barang walaupun mahal harganya.
Rasional dan praktikalnya semua pihak perlu berkongsi menghadapi kegetiran ini bersama tanpa ada sesiapa pun yang terkecuali. Sama-samalah berganding bahu ibarat aur dengan tebing dan kikis sikap bak enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing!
Comments