Skip to main content

Doktor

Masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan terus menjadi isu yang seolah-olah tiada penyelesaiannya walaupun pelbagai langkah telah diambil. Paling terbaharu,pelawaan Kementerian Kesihatan kepada doktor swasta untuk berkhidmat secara sambilan di hospital kerajaan selepas waktu pejabat pun cuma berupaya menarik minat seorang doktor sahaja sejak ia diuar-uarkan sebulan lalu. Mungkin kadar bayaran RM80 sejam tidak cukup tinggi agaknya. Atau barangkali lanskap persekitaran kerja yang tidak menarik dan kondusif selain daripada beban kerja yang berat.

Agak memeranjatkan juga nisbah 1:600 doktor berbanding pesakit di negara ini yang ingin dicapai menjelang 2020 masih jauh untuk dijangkau. Keadaan ini tidak sukar untuk difahami justeru pertambahan jumlah doktor tidak selari dengan peningkatan bilangan pesakit setiap hari. Ini diburukkan lagi dengan penghijrahan doktor-doktor kerajaan untuk menikmati insentif yang lebih menarik di pusat perubatan swasta yang dilihat semakin berkembang pesat sekarang.

Malah kesediaan mereka untuk berkhidmat dihospital kerajaan tidak lebih hanya kerana terikat dengan perjanjian biasiswa sedangkan mereka sebenarnya cuma menunggu masa untuk keluar dan membuka klinik sendiri. Saya dapati segelintir doktor-doktor kerajaan khususnya yang masih muda berkhidmat secara sambilan atau “locum” di klinik-klinik persendirian. Walau apa pun alasan dan tujuan mereka, nampaknya keadaan sebaliknya yang berlaku- doktor kerajaan yang lebih terpanggil untuk berkhidmat di pusat perubatan swasta dan terus membiarkan hospital kerajaan dihimpit masalah kekurangan doktor yang berlarutan.

Saya melihat negara kita tidak mengalami masalah kekurangan doktor sebenarnya. Kekurangan doktor berlaku di hospital kerajaan yang disumbangkan oleh penghijrahan doktor ke sektor swasta sebaik sahaja tamat tempoh wajib perkhidmatan mereka dengan kerajaan. Seperti yang dilaporkan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini, sekitar 300 orang doktor meninggalkan hospital kerajaan setahun. Ekorannya menyebabkan negara mengalami lebih kurang 40 peratus kekurangan doktor.


Keadaan semakin parah dengan keengganan mereka yang telah tamat pengajian mereka di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air justeru ganjaran yang lebih memukau di sana. Walapun kerajaan pernah menawarkan ganjaran yang cukup tinggi sehingga menjangkau RM10 ribu namun tidak ramai yang berminat untuk pulang dan berkhidmat di negara sendiri.

Dalam membendung kekurangan ini, amalan mengambil doktor asing seperti yang dilakukan selama ini bukanlah satu langkah yang baik. Masalah komunikasi antara budaya yang berlaku antara doktor-doktor dari Myanmar, India, Pakistan dan seumpamanya dengan para pesakit sudah sering ditimbulkan.Selain daripada itu perbelanjaan yang cukup tinggi untuk menampung gaji mereka berbanding dengan doktor tempatan.

Sampai bila kita perlu bergantung harap kepada khidmat tenaga perubatan asing walaupun kita sebenarnya mampu melahirkan lebih ramai doktor di kalangan anak tempatan. Berbanding dulu, dengan bertambahnya bilangan universiti di negara ini yang menawarkan kursus perubatan dan separa perubatan, masalah kekurangan doktor tidak sepatutnya menjadi masalah lagi. Malah kecenderungan yang semakin bertambah di kalangan pelajar untuk memilih bidang perubatan juga petanda bahawa bilangan doktor di negara ini secara logiknya terus meningkat.

Dalam memenuhi tuntutan kepada keperluan doktor yang semakin mendesak kini berikutan pertambahan penduduk yang memerlukan rawatan khususnya di hospital-hospital milik kerajaan, langkah yang lebih proaktif perlu dilaksanakan segera.

Tumpuan perlu diberikan untuk meningkatkan bilangan pelajar dalam jurusan perubatan di peringkat universiti.Walaupun diakui perbelanjaan untuk menubuhkan dan menguruskan Fakulti Perubatan membabitkan jumlah wang yang jauh lebih besar daripada fakulti yang lain, kita sebenarnya tidak ada pilihan. Difahamkan, kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM40 ribu setahun untuk melatih seorang pelajar perubatan. Membenarkan sektor swasta untuk menubuhkan sekolah perubatan mungkin alternatif yang ada namun sejauh mana ia dapat memberi peluang kepada mereka yang betul-betul berminat justeru kos pengajiannya yang sudah pastinya mahal.

Suka tidak suka sdal ganjaran dan insentif para doktor sewajarnya diberikan perhatian istemewa berbanding dengan profesion yang lain. Bahawa jangkamasa pengajian mereka yang lebih lama selain daripada kesukaran dan kegetiran yang mereka lalui sepanjang pengajian untuk melayakkan mereka menjadi seorang doktor adalah sebab utama untuk ganjaran yang lebih menarik.

Pihak kerajaan tidak perlulah berkira-kira sangat dalam menawarkan ganjaran yang lebih menarik untuk mereka seperti yang mereka perolehi sekarang. Justeru perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan sekarang ialah memberi rawatan yang terbaik yang amat diperlukan oleh orang ramai sekarang.

Dengan nisbah satu orang doktor kepada 1,145 orang di hospital kerajaan sekarang sudah cukup untuk mencerminkan bahawa kekurangan doktor sebenarnya gawat. Sesekali mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di poliklinik kerajaan, terdengar keluhan dan rintihan orang ramai yang terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan doktor. Saya percaya fenomena ini turut berlaku di kebanyakan hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Kerajaan tidak perlu bertangguh-tangguh lagi dalam menangani krisis ini kerana dikhuatiri lebih ramai lagi doktor kerajaan yang akan berhijrah ke pusat perubatan swasta. Aspek kesihatan rakyat seperti juga pendidikan tidak sepatutnya dikorbankan ekoran dari masalah peningkatan kos pengurusan yang dicetuskan oleh kenaikan bahanapi sekarang.

Kerajaan perlu mengalihkan subsidi minyak yang dijimatkan kepada sektor perubatan swasta supaya lebih ramai rakyat yang tidak berkemampuan berpeluang menikmati rawatan yang lebih sempurna khususnya yang melibatkan keperluan tenaga perubatan pakar.

Selain daripada itu cadangan yang membolehkan pesakit yang perlu mendapatkan rawatan ulangan di klinik kerajaan agar dirujuk sahaja ke klinik swasta hendaklah diperhebatkan dan diperluaskan. Kerajaan boleh menanggung sepenuhnya kos perundingan dan perubatan untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d...

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...