Skip to main content

Posts

Showing posts from March, 2011

Zat

"Tolong jelaskan Zat Allah. Apakah wujud Allah itu benda padat seperti batu, benda cair seperti susu atau seperti gas?", tanya ilmuan yang tidak percaya pada Tuhan pada Abu Hanifah. A bu Hanifah ditubi lagi dengan soalan tentang Zat Allah. Sekali lagi Abu Hanifah mempamerkan kebijaksanaannya menangkis soalan itu. Dia beranalogi lagi. "Tuan pernah mendampingi orang sakit yang sedang menunggu masa untuk mati? " Pernah", kata ilmuan itu. "Bagus. Mudah bagi saya untuk menjawab soalan Tuan itu. Awalnya, bukankah orang sakit itu dapat berkata-kata dan dapat menggerakkan anggota badannya. Betul tak?" "Ya, memang begitulah yang saya lihat", jawab ilmuan itu lagi. "Tetapi, kenapa tiba-tiba orang sakit itu diam tidak bergerak? Apa yang menyebabkan hal itu berlaku?", Abu Hanifah bertanya lagi. " Itu kerana roh orang tersebut telah berpisah dari tubuhnya .", kata ilmuan itu. "Sewaktu roh itu keluar, apakah Tuan masih berada...

Mana?

"Dimanakah Tuhanmu berada sekarang?, sesuatu yang ada, pasti ada tempatnya" S ekiranya seorang yang tidak pernah percaya tentang adanya Tuhan mengajukan soalan di atas apalah agaknya jawapan kita. Ia bukan mudah untuk dijawab lebih-lebih lagi sekiranya soalan itu memang berniat untuk menguji sejauh mana keyakinan kita dan pegangan kita kepada adanya Tuhan. Saya mendengar seorang Ustaz ini lewat corong radio awal pagi ini kisah bagaimana Abu Hanifah berdepan dengan seorang ilmuan Rom yang terang-terang seorang atheis dan menolak mentah-mentah kewujudan Tuhan. Abu Hanifah ternyata bijak menjawab soalan-s0alan yang dilontarkan kepadanya berkait kewujudan Tuhan. Dia diasak satu demi satu soalan yang benar-benar menguji akidahnya. Abu Hanifah bijak beranalogi bila soalan di atas tadi diajukan kepadanya. Susu dan keju dijadikan analogi untuk menjawab ilmuan bongkak ini. "Adakah Tuan tahu bentuk susu ?",tanya Abu Hanifah. " Ya, sudah tentu ", jawab ilmuan pula. ...

Perbandingan

B ersama isteri dan Haziq kami makan di luar malam ini. Saya tidak pernah sekali pun mendatangi kedai makan ini. Bila melihat bukan kepalang ramainya yang mengerutung kedai makan ini, isteri mencadangkan untuk mencubanya. Pasti hebat masakannya sehingga begitu sekali tarikannya. Makanan yang dipesan disajikan di atas meja. Pantas dilunas pesanan walaupun ramai. Barangkali inilah salah satu tarikannya. Nampak menyelerakan. Haziq hampir mahu memulakan suapan pertamanya bila dia tiba-tiba menyatakan ada sehelai rambut dalam nasi papriknya. Dia pada mulanya berhasrat untuk mendapatkan sepinggan nasi yang lain namun saya menasihatkannya ia bukanlah isu yang besar sangat pun. Tidak merbahaya pun. Anggaplah sahaja itu satu kesilapan yang tidak disengajakan. Dan tidak nampak manis untuk mengaibkan tuan punya kedai yang baru pertama kali didatangi itu. Bagus, dia tidak membantah. Melihat mangkuk di atas meja hidangan dan air halia madu yang dipesan mama ditambah pula isu sehelai rambut yang di...

Cantik

A da ungkapan menyebut untuk tampil cantik harus menderita malah sakit. Tidak kurang yang sanggup berhabis duit. Lebih melampau lagi ada yang sampai tergamak mengubah wajah yang sudah cukup cantik ciptaan Tuhan. Kening dicukur, hidung ditebuk lalu dipakaikan subang. Hidung yang kemik dimancungkan untuk tampak menarik dan menawan. Bukan sedikit belanjanya. Besarnya anting-anting yang tersangkut di telinga namun tidak dirasa berat dan sakit kerana ingin nampak cantik. Sakitnya kaki dek penangan kasut tumit tinggi. Juga dibenam rasa sakit itu kerana ingin nampak cantik. Saya sempat menyaksikan secara dekat wanita merentas dunia "menyakitkan" diri mereka untuk tampak cantik. Di muzium kecantikan Melaka dipamerkan pelbagai gambar dan artifek bagaimana tubuh badan disakiti untuk sebuah kecantikan. Kegilaan wanita untuk cantik sudah berkurun lamanya. Untuk sebuah leher jinjang misalnya leher rela disakiti gelungan tembaga. Tidak sakitkah? Untuk sebuah pinggang yang ramping dan can...

Menunjuk

"Kak, letih aja nampak hari ini, tak sehat ke?....." Saya puasa enam " Bunyi macam menunjuk-nunjuk. Tetapi tidak tahulah mungkin dalam hati tidak berniat begitu. Ada dua kemungkinan, setakat memberitahu tanpa niat menunjuk atau paling dikhuatiri kalau memang terdetik hati untuk menunjuk-nunjuk. Menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah ini disebut riya'. Selalu kita dengar bila memberi sesuatu, orang yang memberi akan didengar berkata, "Saya ikhlas ni ," Betul ke ikhlas atau ada niat memang hendak menunjuk barangkali. Sukarnya untuk mengelak sangkaan orang ramai terhadap niat kita. Mungkin niat kita bukan hendak menunjuk pun tetapi tidak siapa yang betul-betul tahu apa yang ada dalam hati kita. Kata Ustaz yang bercakap tentang ikhlas lewat TV9, kita boleh tahu tanda orang-orang yang riya' ini. Dia memetik tiga ciri yang pernah disampaikan oleh Ali bin Abi Thalib. Kalau sendirian, amalannya tidak hebat mana pun maklumlah sebab tiada yang melihatnya. Sebaliknya ...

Balas

B uat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat. Inilah yang biasa sangat kita dengar. Balas baik dengan jahat pernah juga kita dengar. Tetapi kalau buat jahat dibalas baik ia agak luar biasa. Namun ia bukanlah luar biasa sekiranya peribadi Rasulullah dijadikan sandaran. Nabi tidak balas jahat dengan jahat, tetapi balas dengan baik. Mulianya akhlak Nabi. Di majlis meraikan keputeraan insan besar ini yang sempat saya hadiri lagi, Ustaz membawa cerita yang sudah amat biasa kita dengar ini. Biar didengar selalu, namun baik untuk didengar berulang-ulang kali. Sebagai peringatan kepada diri yang memang selalu lupa. Seorang Yahudi ini mengutuk dan menghina Nabi serta ajaran yang dibawa oleh Nabi secara terbuka setiap hari di pasar. Jahatnya perbuatan Yahudi ini. Apa yang Nabi buat? Nabi tidak balas jahat pun. Nabi tidak marah, jauh sekali melenting. Nabi tidak hirau dan tidak kesah. Nabi sebaliknya buat sesuatu yang kita tidak pernah terfikir pun. Nabi melayan Yahudi dengan amat baik sekal...

Cinta

"Demi nyawaku di tangan-Nya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, emak dan semua makhluk yang lain.” (Hadis riwayat Bukhari). H adis ini menjadi intipati ceramah ustaz yang di undang di majlis ilmu sambutan Maulidul Rasul Gudang Garam. Rata-rata yang hadir dilihat terpaku dengan isi penyampaian malah gayanya juga. Sepanjang dua jam penuh dengan ilmu, biar sudah didengar berulang kali sebelum ini. Sesekali terdengar derai ketawa hadirin dek jenaka ustaz dari Labis ini. "Tok Ketua, siapa yang lebih Tok sayang, isteri atau Nabi? Ustaz memulakan ceramahnya dengan mengajukan soalan ini kepada Ketua Kampung. Tok Ketua jawab sama-sama sayang.Tidak boleh begitu kata Ustaz. Nabi perlu dikasihi dan disayangi lebih daripada yang lain-lain malah melebihi ibubapa, anak isteri. Kita sebagai umatnya sebenarnya mesti meletakkan kecintaan terhadapnya di puncak rasa cinta. Tetapi tercapaikah kita berbuat demikian? Mampu atau...

Ikut

"Hafiz dah salam ayah, ibu, adik dan atok. Ayah tak salam dengan atok pun " H afiz berada dibulan ketiganya di tadika. Perkembangan mindanya dilihat amat ketara. Gaya tuturnya makin kemas dan meyakinkan. Banyak perkataan-perkataan baru yang terpacul dari mulutnya. Sudah mula kritis. Atoknya bercerita tentang perilakunya yang saya kira menarik. Setiap pagi sebelum ke sekolah Hafiz dipesan dan diajar supaya bersalam dengan ayah, ibu, adik dan atoknya. Dia melakukannya tanpa sukar kerana memang itulah yang gurunya ajar padanya. Cumanya dia hairan kenapa ayahnya tidak dilihat bersalam dengan ibunya seperti yang dia lakukannya pada ibunya. Begitulah anak-anak sekarang. Cepat memerhati dan begitu peka dengan apa yang dilihat di sekelilingnya. Sedikit kesilapan kita dia akan mudah perasan walaupun di usia serendah lima tahun itu. Kita mungkin boleh menyuruhnya buat itu dan ini namun ia bukanlah yang terbaik. Anak-anak sekarang sebenarnya buat apa yang kita buat. Dia melih...

Kerenah

P ak Utih merungut sambil marah-marah kerana permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi adiknya yang kelainan upaya masih tidak diluluskan sampai sekarang. Saya faham kemarahannya dan memang berasas. Pun begitu, di pihak yang satu lagi, kelewatan itu juga berasas. Ada prosedur yang perlu dipatuhi. Walaupun peraturan dibuat untuk memudahkan sistem, namun janganlah kita begitu terikat dengannya sampai menafikan soal budibicara dan sikap toleransi. Pastinya ada perkara yang dapat dilakukan dengan baik dan memuaskan hati kedua-dua pihak sekiranya kita bertindak sebagai "manusia" dan bukan dikongkong oleh peraturan buatan manusia. Pak Utih bukan seorang diri berdepan dengan kerenah birokrasi ini. Namun itu bukan bermakna kita harus memandang sepi perkara yang tidak sepatutnya berlaku ini. Di mana-mana pun sentiasa ada ruang untuk memudahkan urusan tanpa menggadaikan rasa kemanusiaan yang seharusnya menjadi dasar kepada mana-mana sistem dan peraturan buatan manusia. Kita jangan j...

Tanam

M emang tidak rugi berbudi pada tanah.Malah tidak perlu banyak modal pun. Cuma berbekalkan benih sayuran yang tidak sampai pun berapa ringgit, selang beberapa bulan hasilnya sudah boleh dituai.Masalah remeh seperti tiada masa dan ruang tanah yang kosong untuk bercucuk tanam sebenarnya tidak timbul langsung. Apa yang penting ialah kesediaan untuk meluangkan masa sekitar satu atau dua jam sehari untuk melakukannya. Rasanya ruang tanah yang ada dibelakang rumah cukup luas menunggu untuk dikerjakan. Siapkan batas-batas dan taburkan benih selain daripada siraman air setiap hari dan pupukan baja, sayuran hasil tangan sendiri siap untuk dituai dan dirasakan nikmatnya. Ternyata sayuran yang ditanam sendiri lebih sedap, manis dan tentunya bebas dari cemaran racun serangga dan bahan-bahan yang disangsikan.Saya sendiri sudah puas merasai pelbagai sayuran seperti bendi, sawi, bayam, kacang botol dan kini menanti jagung pula. Sambil menyelam minum air kata orang- mengeluarkan peluh sambil berjimat...

Abai

"Sesiapa yang memuliakan Allah, maka Allah akan memuliakannya. Dan sesiapa yang mengabaikanNya, maka Allah akan mengabaikannya " I tulah jawapan yang mampu saya berikan kepada Haziq bila bertanya kenapa ada yang masih mengemis di bumi Allah yang dilimpahi rezeki meruah-ruah. Dia nampak seorang pengemis dan atas dasar kasihan dia meminta RM10 daripada saya untuk disedekahkan kepada pengemis itu. Saya meminjam kenyataan yang diungkapkan oleh seorang ulama salaf seperti yang diceritakan oleh Ibn Rajab al Hanbali. Ulama ini melihat seorang yang sudah sangat tua sedang mengemis dan meminta-minta kepada manusia. Ulama itu berkata, "Orang ini mengabaikan Allah pada masa mudanya, maka Allah mengabaikannya pada masa tuanya " Imam Abu Syuja' dikisahkan berusia panjang sehingga 160 tahun dan tidak ada satu pun anggotanya yang rosak. Pendengaran, penglihatan dan ingatannya tetap sihat seperti seorang muda belia. Bila ditanya rahsianya, ulama ini menjawab, "Saya menjaga...

Rahmat

"Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam." (al-Anbia’ : 107) T idak banyak input yang segar diperolehi daripada ceramah Maulid di Masjid Batu Anam malam tadi. Apa yang disampai sudah didengar berulang-ulang kali. Malah Ustaz yang menyampaikannya juga mengakuinya. Kisah seorang Badwi yang kencing dalam masjid dan ditegur secara berhikmah oleh baginda Nabi sudah acapkali didengar. Begitu juga kisah kebijaksanaan baginda menyelesaikan pertelingkahan pelbagai qabilah dalam meletakkan semula Hajar al-Aswad. Pun begitu ada juga yang baru didengar buat kali pertama. Kisah bercahayanya wajah baginda bagai matahari sehingga sampai boleh menjadi penyuluh kepada jarum Aisyah yang jatuh di lantai semasa menjahit. Juga kisah Nabi ditanya pelbagai soalan bagi menguji kenabiannya yang akhirnya membawa kepada berimannya mereka yang mengajukan soalan-soalan tersebut kepada baginda. Kata Ustaz walaupun segalanya boleh diperolehi dengan membaca ...

Robot

A dakah saya bercakap dengan robot? Tuturkatanya memang persis robot yang diajar untuk bercakap. Pantas dan sukar difaham buah butirnya. Keadaan begini memang sering ditemui di kaunter-kaunter makanan segera. Mereka memang sudah dilatih untuk bertutur begitu barangkali. Berdepan dengan ramai orang di kaunter barangkali tidak perlu sangat bertutur dan berbahasa macam manusia. Banyak masa terbuang nanti. Segalanya perlu pantas dan tepat, sepantas wang yang mesti masuk dalam kantung. Bila berurusan melalui telefon pula, kita biasa mendengar pertuturan berbunyi robot masuk ke dalam telinga kita. Tidak begitu enak mendengarnya. Adakalanya saya rasa perlu untuk menegur mereka, walau pun saya tahu bertutur begitu memang satu tuntutan dalam kerja mereka. Saya melihat nilai kemanusiaan dalam hubungan makin terhakis. Kita nampaknya lebih senang berurusan dengan yang lain melalui media baru yang lebih pantas dan mudah. Malahan perbualan juga sudah boleh diprogramkan dan disimpan di peti suara. Ma...