Skip to main content

Perbandingan


Bersama isteri dan Haziq kami makan di luar malam ini. Saya tidak pernah sekali pun mendatangi kedai makan ini. Bila melihat bukan kepalang ramainya yang mengerutung kedai makan ini, isteri mencadangkan untuk mencubanya. Pasti hebat masakannya sehingga begitu sekali tarikannya.


Makanan yang dipesan disajikan di atas meja. Pantas dilunas pesanan walaupun ramai. Barangkali inilah salah satu tarikannya. Nampak menyelerakan. Haziq hampir mahu memulakan suapan pertamanya bila dia tiba-tiba menyatakan ada sehelai rambut dalam nasi papriknya. Dia pada mulanya berhasrat untuk mendapatkan sepinggan nasi yang lain namun saya menasihatkannya ia bukanlah isu yang besar sangat pun. Tidak merbahaya pun. Anggaplah sahaja itu satu kesilapan yang tidak disengajakan. Dan tidak nampak manis untuk mengaibkan tuan punya kedai yang baru pertama kali didatangi itu. Bagus, dia tidak membantah.


Melihat mangkuk di atas meja hidangan dan air halia madu yang dipesan mama ditambah pula isu sehelai rambut yang ditemui Haziq dalam nasinya tadi saya terfikir sesuatu. Saya mahu berbincang santai sambil menikmati hidangan. Tentang mangkuk, madu dan rambut.


Saya ingin melihat pemikiran isteri dan anak lelaki saya. Isteri berseloroh, "Madu memang manis namun kalau bermadu pahit. Sesama isteri akan tarik rambut dan mangkuk akan terbang melayang-layang." Menarik juga lontaran spontannya. Haziq tidak mampu mengaitkan ketiga-tiganya sekali gus. Tak apalah.


Saya sebenarnya ingin menarik perhatian mereka berdua bagaimana Rasulullah dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar, Umar, Usman dan 'Ali memberi pandangan tentang tiga benda ini. Cukup menarik.


Abu Bakar berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".


Umar pula kata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".


Kata Usman , "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".


Manakala 'Ali kata, "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".


Rasulullah pula kata, "seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".


Allah berfirman, "SyurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurgaKu itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurgaKu adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".


Hebatnya kejadian Tuhan khususnya kepada mereka yang mahu berfikir.


Pena Tumpul - Ingin datang lagi ke kedai makan ini, memang istemewa

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...