Skip to main content

Bangsa

Satu Malaysia. Rakyat didahulukan. Pencapaian Diutamakan. Begitu bunyi gagasan yang dilontarkan oleh Najib sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri dan hampir setiap hari malah selang beberapa jam dikumandangkan lewat corong radio bersekali dengan lagu "Saya Anak Malaysia" milik dR Sam. Ia menggamit minda saya untuk mengulasnya sebaris dua.

Gagasan tersebut merangkumi elemen yang jelas bagi pembinaan negara dengan berpaksikan kepada perpaduan dan integrasi; kepentingan rakyat dan kecemerlangan bagi melonjakkan kemajuan negara…

Beliau menjelaskan Satu Malaysia akan memastikan tiada golongan atau satu kaum yang terpinggir di negara ini tetapi pada masa yang sama tidak menolak dasar affirmatif. Yang penting kata Najib, kerajaan akan berlaku adil kepada semua kaum dalam usaha yang beliau sifatkan sebagai satu transformasi besar. Diharap gagasan Satu Malaysia ini difahami dengan jelas dan diterjemahkan secara tuntas dalam bentuk tindakan dan tidak tinggal sekadar slogan kosong yang tidak bermakna. Saya percaya kita semua ingin melihat lahirnya sebuah bangsa Malaysia dimana seseorang itu tidak lagi ditakrifkan dari keturunan nenek moyangnya atau warna kulit, tetapi di bawah naungan satu ideologi, nilai-nilai dan kewarganegaraan. Walaupun kita datang dari identiti perkauman yang belainan (keturunan, warna kulit, adat resam dan bahasa ibunda) bersama-sama kita bersatu bawah naungan satu identiti kebangsaan, satu bangsa, satu bahasa iaitu bangsa Malaysia. Walaupun kelihatannya sukar untuk dicapai, tetapi sokongan semua pihak amat perlu untuk merealisasikan gagasan besar ini. Jangan ada yang mempolitikkannya pula untuk kepentingan sendiri. Seperti mana Pancasila yang berjaya melahirkan bangsa Indonesia yang tebal keIndonesiaannya, begitulah harapan kita untuk melihat setiap seorang dari kita khususnya generasi muda negara ini dengan bangga berkata " Saya bangsa Malaysia".
Indonesia sudah lama selesa begitu. Kita tentunya ingin melihat satu bentuk bangsa yang walaupun berlainan kulit dan budaya tetapi hidup rukun damai dan bangga mnjadi bangsa Malaysia serta tidak lagi berkiblatkan negara asal keturunan mereka baik dari mana pun mereka datang dulu. Kita mungkin boleh berbangga dengan perpaduan erat yang terjalin antara kaum sekian lama, namun itu tidaklah memadai kerana dikhuatiri perpaduan begini bisa sahaja rapuh bila badai melanda justeru sesuatu yang kelihatannya tenang di permukaan tidak pula kita sedari rupanya bergelora di dasarnya! Bangsa Malaysia perlu direalisasikan segera tanpa kompromi demi kewujudan sebuah negara bangsa.


Pena Tumpul - Perpaduan rapuh ibarat bom jangka

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...