Skip to main content

Menulis

Jadilah pembaca yang rakus dan anda akan menjadi penulis yang hebat. Begitu kata-kata Jeniri Amir sebagai penyuntik semangat kepada mereka yang berkobar-kobar sangat ingin jadi penulis. Penulis prolifik dari Sarawak ini berkongsi pengalaman peribadinya sebagai penulis yang buat duit dalam siri syarahan intelektual II yang berlangsung di UiTM pagi ini.Menurutnya, dalam masa dua puluh tahun, beliau telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah sehingga dianugerahkan dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007. Satu pencapaian yang amat mengkagumkan.

Katanya beliau memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis malah ‘gila’ membeli buku. Dalam apa juga profesion dan kerjaya, disiplin adalah perkara utama. Demikian juga dengan penulisan kita mesti mendisiplinkan diri dengan pelbagai perkara daripada mengaturkan masa hinggalah memaksa diri membaca karya orang lain, merujuk kamus dan daftar ejaan, mengunjungi kedai dan pesta buku selain kerap ke perpustakaan.Semua yang hadir bagaikan teruja dengan saranan beliau yang memakan masa lebih kurang dua jam itu.

Saya sempat membeli buku beliau yang mengajak pembaca yang berminat untuk membuat duit dengan menulis. Saya sedang membacanya penuh minat dan seakan mahu menghabiskannya sehingga ke laman terakhir sesingkat waktu.Berhenti sejenak mengulitinya, tersingkap juga rahsia membuat duit dengan menulis. Antaranya, beliau menyarankan agar kita memilih genre yang kita minati dan akrab dengannya. Kita boleh saja menulis pelbagai karya kreatif dan popular termasuk novel, cerpen dan puisi hinggalah ke buku umum, buku teks atau ulasan politik. Tuah ayam nampak di kaki, tuah penulis pada royalti.

Justeru, perlulah kita membaca dan membuat rujukan, memerah otak mencari ilham dan idea dan menjawab soalan paling asas; mahu tulis apa? Bagaimana kaedah menulis yang paling berkesan? Bagaimana merangka dan mengajukan cadangan penulisan yang dapat meyakinkan penerbit dan editor? Bertolaklah dengan mula mengetahui dan mengenali pelbagai aspek dalam penerbitan buku.

Memang, bagi penulis yang baru, mereka boleh saja tersesat dan hilang punca apabila menulis. Bagaimana memulakan ayat pertama, menyusun perenggan dan menamatkan penulisan? Jeniri menunjukkan bagaimana kita dapat menganyam pelbagai fakta dan maklumat yang ada, membina tarikan pada fakta yang dibentangkan menggunakan pelbagai pendekatan. Semuanya menuntut kreativiti penulisnya dalam memilih kata yang paling tepat.

Beberapa pedoman perlu dipegang apabila menulis misalnya menulis ayat yang pendek dan mudah dan bukan ayat yang kompleks. Pengalaman membaca amat penting diterapkan apabila kita menulis dan daripada sinilah kita dapat memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian perbendaharaan kata yang kita bina daripada pembacaan yang banyak.

Demikianlah Jeniri menuangkan pengalamannya dalam buku ini.Bak kata pepatah, pendayung sudah di tangan, kolek sudah di air, apa lagi berdayunglah menuju puncak kejayaan bergelar penulis terkaya di Malaysia!Mampukah?

Pena Tumpul - Hendak seribu daya

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...