Skip to main content

Satu


Saya sering memikirkan alangkah baiknya kalau saya dapat memahami dan berkebolehan untuk bertutur dalam bahasa selain bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris. Saya berharap saya boleh memahami Bahasa Mandarin sekurang-kurangnya untuk satu tujuan ini. Saya tidak mahu ditipu apabila berurusan dengan pemunya bahasa ini. Saya sering beranggapan apabila kita membeli sesuatu barangan dari mereka, kemungkinan untuk kita ditipu dari segi harga sentiasa ada. Kalaulah saya tahu apa yang mereka cakap sesama mereka, bukankah baik! Saya tiidak memiliki kebolehan itu.

Prasangka kaum tidak dapat dielakkan walaupun kita sudah hidup bersama sekian lama. Sistem pendidikan yang berteraskan kaum yang dicerna sekian lama dilihat sebagai penyumbang utama kepada jalinan kaum yang tidak tulin ini dan saya adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang lahir dari sistem ini. Justeru, cadangan yang disuarakan oleh tokoh akademik dan sejarah Prof Khoo Kay Kim supaya diwujudkan sekolah satu aliran dilihat amat sesuai dan kena pada masanya. Gagasan 1Malaysia yang hebat dicanang dan dilaung kini pasti sahaja mampu diterjemahkan secara tuntas di peringkat akar umbi andainya cadangan ini diterima baik tanpa bantahan oleh semua pihak.

Generasi baru yang berjiwa Malaysia tulin setulinnya hanya bisa terhasil sekiranya setiap kanak-kanak, tanpa mengira agama, bangsa, status sosial dan lokasi, belajar dalam satu darjah yang sama, menggunakan bahasa pengantar yang sama dan mengikuti kurikulum yang sama.
Yang menariknya, di penghujung sistem itu kita melahirkan lulusan, sama ada di peringkat sekolah atau universiti, yang berjiwa Malaysia, yang mahir berbahasa Melayu dan Inggeris serta mampu menguasai bahasa ketiga daripada salah satu bahasa ibunda. Saya menjangkakan sekiranya sistem ini dilaksanakan sekarang, menjelang 2020, majoriti rakyat Malaysia Melayu, India, Cina sudah boleh menguasai empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris selain Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Malangnya cadangan murni ini belum pun sempat direalisasikan sudah mendapat tentangan yang rata-ratanya didorong oleh sentimen perkauman yang menebal, cauvinisme serta kepentingan politik jangka pendek.Sistem 1aliran hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli politik negara ini untuk memberi laluan mudah kepada kelangsungan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum yang bersatu padu. Yang paling penting agar tidak dilihat menjadi jaguh kaum masing-masing hanya untuk kepentingan politik peribadi.

Suka atau tidak sekolah adalah permulaan yang terbaik kearah perpaduan.Sekolah ialah tempat terbaik untuk memulakan hubungan integrasi. Apabila kanak-kanak sudah terdedah dan biasa dengan pergaulan antara berbilang kaum di sekolah, mereka tidak lagi mengalami kejutan apabila memasuki alam pekerjaan dan bermasyarakat.Dalam kehidupan realiti kita sekarang, pergaulan antara kaum hanya terjadi dalam keadaan luaran dan tidak mendalam.

Tembok perkauman mesti diruntuhkan untuk memberi laluan kepada kehidupan satu bangsa Malaysia yang lebih harmoni kerana hubungan rapuh antara kaum akibat suasana sosial, ekonomi dan politik yang tidak begitu baik boleh menjadi satu bom jangka yang berbahaya.

Kita boleh berbangga dimata dunia sebagai sebuah negara yang paling berjaya menguruskan kaum yang pelbagai resam, bahasa dan budayanya tetapi apalah maknanya kalau ia sekadar jalinan yang amat artificial sifatnya!

Pena Tumpul - 1pandangan dan 1harapan demi 1Malaysia


Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...