Skip to main content

Benar

Yang Benar Tetap Benar

Yang benar tetap benar
berkata benarlah walaupun sukar
kerna pada yang benar adanya sinar
yang benar tidak boleh diganti tukar
sekalipun cuba disangkar oleh yang makar
kerna yang benar itu benar
sekalipun ada yang bersikap hambar

Hantarlah bicara yang benar
agar mengalir ke setiap alor dan datar
ke hutan belukar dan paya terbiar
ke desa yang pudar dan bandar yang besar

Nyatakan yang benar
di daerah yang hambar dan kota makar
di akhbar tersiar juga tv radio terpancar
untuk simiskin yang terlantar
dan sikaya yang tersandar

Cakaplah yang benar, walaupun tidak dibenar
sekalipun disanggah tegah disambar kasar
kerna Tuhanmu adalah
Tuhan Yang Maha Benar
Rasulmu ialah obor sabar
cahaya sinar buat yang benar
Maka yang benar itu tetap benar

Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Puisi ini dideklamasikan begitu menarik oleh penulisnya sendiri di penghujung rancangan Bahtera Perubahan lewat Oasis tengahari ini. Saya sudah lama menyedari kehadiran program ini di ruang udara namun tidak pula cukup tertarik untuk mengikutinya. Sesekali secara tidak sengaja tersangkut di program ini cuma mampu meruntun hati saya untuk singgah seminit dua sebelum beralih ke saluran yang lebih mengujakan dari sudut maklumat dan ilmunya. Tetapi hari ini saya tidak dapat menahan diri untuk terus terpaku tanpa ganjak di depan tv menonton Bahtera Perubahan sehingga usai. Pastinya ada kekuatan dalam diri Ustaz yang beberapa minggu kebelakangan ini di badai kontroversi. Penyampaiaanya cukup menarik bersekali dengan isu yang juga menarik.

Dr Asri berbicara fasal "Jangan lelong agama". Ustaz tidak teragak-agak menyatakan tabiat orang Melayu yang dilihatnya bercanggah syariat. Cerita sebahagian mereka yang menggunakan agama untuk keuntungan diri sendiri dan bagaimana ada kalangan yang mudah terpedaya dengan khasiat air jampi yang boleh merungkai masalah pelbagai. Suami yang "nakal" boleh "jinak" dengan air jampi, anak yang lembab boleh bertukar cukup bijak dan hebat dengan bantuan air ini serta juga kismis yang dijampi. Kata Ustaz, kalaulah begitu halnya, tentunya agak aneh melihat anak Melayu dengan berbekalkan air jampi itu tidak pula mampu untuk menandingi kehebatan anak bukan Melayu yang cuma bergantung pada air mineral sahaja!

Secara berseloroh Ustaz berkata, " Kalau begitu hebatnya kesan air jampi itu, saya ingin mencadangkan supaya dibacakan sahaja pada empangan supaya masalah yang menimpa orang Melayu ini, contohnya mat rempit akan selesai!"

Tentunya bukan itu yang dituntut oleh Islam. Kata Ustaz lagi, dalam hadis ada beberapa orang sahabat yang didoakan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya yang bermaksud: Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat al-Bukhari)

Tidak dinafikan Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabat yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti mana sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu, selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan.

Maksudnya, doa Nabi s.a.w. memang dimakbulkan Allah melalui proses keilmuan yang sepatutnya. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam.

Janganlah lelong agama kerana bisnes, kata Ustaz lagi.

Pena Tumpul - Lelong buku-buku lama sahaja!

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...