Skip to main content

Siapa Melayu?

Siapa sebenarnya yang layak dipanggil sebagai bangsa Melayu? Siapa Melayu? Menurut penakrifan antropologi, mengikut teori Syed Husin Ali, seorang antropologis negara, orang Melayu itu dari segi lahiriah, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Dari segi etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem kemasyarakatan dwisisi ( budaya dan agama) dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid. Menurut Syed Hussein Al-Attas, tulisan terawal tentang orang Melayu telah ditulis oleh Tome Pires. Menurut beliau, mereka (orang Melayu) adalah bangsa yang cemburu kerana para isteri orang-orang penting tidak pernah telihat dimuka umum.

Seorang pegawai Portugis menyatakan bahawa kebanyakan mereka (Melayu) menyenangkan, nakal dan sangat ceroboh. Mereka juga berakal dan cerdas tetapi mengabaikan pelajaran dan sastera.

John Francis Gamelli Careri yang datang ke Melaka pada 1665 beliau menyatakan orang-orang Melayu (Minangkabau) yang beragama Islam adalah para pencuri yang handal manakala DE Vellez Guirrero seorang kapten Portugis menyatakan orang Melayu sebagai biadab. Tetapi kesemua pendapat ini dinafikan oleh Francois Valentyn (Belanda) yang menyatakan orang Melayu lincah, lucu, cerdik, berbakat dan yang paling sopan santun dari dunia Timur.

Sir Stanford Raffles pula menyatakan bahawa orang Melayu tidak memperolehi tingkat pengembangan intelektual yang tinggi. Ini adalah kerana baginya tidak ada sistem undang-undang yang ditetapkan dengan baik dan diterima umum menyebabkan punca utama kemerosotan perwatakan orang Melayu. Ini dapat dilihat apabila terdapatnya perselisihan dalam pentadbiran dan juga berlaku peperangan dinatara suku dan perebutan takhta dan lain-lain lagi.

Raffles juga menganggap bahawa orang Melayu itu malas, contohnya ketika mempunyai beras mereka tidak bekerja kerana tiada rangsangan untuk terus mencari rezeki. Selain itu beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu suka membalas dendam. Keris telah digunakan sebagai alat perkelahian. Orang Melayu juga peka terhadap hinaan dan benci pada perdamaian yang dipaksakan oleh pihak lain.

Buku “Revolusi Mental dan Kemalasan Orang Melayu” terbitan UMNO yang dihasilkan oleh 14 penulis menyatakan beberapa ciri masyarakat Melayu seperti berikut:
1. Tidak jujur kepada diri sendiri.
2. Tidak melihat kesalahan sendiri.
3. Kurang keberanian.
4. Sedia berkorban di bawah pimpinan yang baik.
5. Patuh pada undang-undang selagi agama tidak diganggu.
6. Tidak berfikir secara rasional.
7. Tidak tunjukkan disiplin dan ketepatan waktu.
8. Tidak tunjukkan semangat kekerasan.
9. Suka membazir

Sasterawan Negara Usman Awang (Allahyarham) menerusi puisinya pula mengungkap

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Akhirnya,mungkin Melayu tak hilang di dunia tetapi jika ada bangsa Melayu yang layu apalah gunanya. Layu dengan lagu yang mendayu. Layu di pusat-pusat serenti. Layu di atas jalan raya yang serba moden. Layu di peringkat pengajian tinggi.

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus