Skip to main content

Hari Guru

Melihat anak saya Haziq sebok-sebok membeli hadiah untuk guru-guru yang mengajarnya semalam, menyedarkan saya bahawa Hari Guru di sambut untuk kesekian kalinya lagi hari ini. Dia memilih untuk tidak memberikannya kepada semua guru tetapi hanya untuk guru yang mungkin menjadi idolanya,saya kira. Dia memilih jam dinding untuk diberikan kepada dua orang guru yang menjadi pilihan utamanya. Saya menyaran kepadanya, hadiah tidak perlu mahal sangat justeru guru tidaklah begitu berkira sangat tentang nilai dan bentuk hadiah yang diberi oleh anak didiknya. Penampilan diri yang beradab, hormat kepada guru disamping tekad untuk berjaya tentunya merupakan hadiah paling berharga bagi seorang guru.

Saya masih ingat tahun 1972 merupakan permulaaan kepada sambutan Hari Guru. Ketika itu saya menuntut di darjah 5 di SK Batu Anam.Beberapa orang guru yang pernah mengajar kekal segar dalam ingatan seperti Cikgu Zakaria, Cikgu Alias, Cikgu Rohani, Cikgu Dahalan, Cikgu Ahmad Arshad. Sesekali terserempak, mereka sudah kelihatan uzur . Cikgu Yusof Hasan, Cikgu Husin Samad, Cikgu Ismail sudah lama tiada. Di SM Batu Anam, nama-nama seperti Mr Lee, Mr Chin, Ustazah Siti Aminah, Cikgu Zaidan juga masih segar dalam ingatan. Mereka begitu dedikasi. Begitu juga dengan Mr Choo, Cikgu Ismail Werdani, Cikgu Zainal Din, Cikgu Azman.

Namun saya tidak boleh melupakan peristiwa saya dan tiga orang kawan saya ditempeleng oleh Cikgu Rahim guru disiplin gara-gara membeli makanan di kantin sekolah rendah. Ketika itu saya dalam Tingkatan 1. Malunya diperlakukan begitu dihadapan rakan pelajar yang lain di dalam kelas.

Tahun 1987 saya dinobatkan sebagai guru. Ditempatkan di sebuah sekolah Felda di Jengka memang mencabar. Namun selama lapan tahun saya mencurahkan ilmu kepada anak didik yang keseluruhannya Melayu saya berhak untuk melonjak gembira. Kebanyakan daripada mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing sekarang. Namun mengajar di SM Felda Pemanis tidak memberi kepuasan kepada saya. Mereka tidak bermotivasi untuk belajar, lebih seronok untuk ponteng sekolah dan menolong bapa mereka di ladang. Saya kecewa dengan diri saya sebagai guru selama 2 tahun di sana.

Bertukar profesyen sebagai pensyarah pada 1997 tidak banyak bezanya dengan kerjaya guru. Mengajar dan mendidik anak bangsa menjadi tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan dedikasi. Saya selalu berdoa agar diberi kekuatan untuk mendepani pelbagai cabaran dalam mendidik kini. Berdepan dengan pelbagai pelajar yang berbeza kerenah dan matlamat. Ada yang seolah-olah dipaksa untuk belajar. Tidak nampak bersungguh-sungguh dan macam tiada hala tuju yang jelas. Namun mereka perlu dibimbing dan dipandu. Tugas sebagai pendidik menuntut pengorbanan masa yang bukan sedikit. Selamat Hari Guru untuk semua guru khususnya buat isteri saya yang mengajar di SK Canossian Convent. Banyak juga hadiah yang diterimanya daripada anak muridnya. Seronoknya jadi guru.

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...