Skip to main content

Sandiwara

Pasca Pilihanraya ke 12(PRU12) meninggalkan pelbagai kudis yang tidak tahu akan bila sembuhnya dan entah apa pula penawarnya. Parti UMNO yang menunjangi kerajaan BN sejak merdeka paling teruk menerima kecaman bukan sahaja daripada saingannya malah yang lebih memilukan daripada dalam parti itu sendiri. Sejak 8 Mac parti yang dikatakan berjuang untuk orang Melayu diasak dengan tekanan demi tekanan justeru kegagalannya dalam memikul tanggungjawab membela kepentingan Melayu. Namun orang nombor satunya dilihat paling malang justeru menjadi sasaran utama berikutan prestasi amat buruk dalam PRU12. Setelah lebih kurang 3 bulan berlalu Pak Lah terus dihujani dengan desakan agar beliau meletakkan jawatan. Setelah pelbagai isyarat dipertontonkan di depannya Pak Lah terus mengambil sikap tidak berganjak dengan keputusannya untuk kekal menerajui parti dan kerajaan justeru keyakinan kuat beliau bahawa majoriti ahli UMNO dan orang Melayu masih menyokong beliau.

Cubaan demi cubaan dilakukan namun Pak Lah tetap utuh dan berdiri teguh dengan tekad dan semangatnya untuk memulihkan UMNO dan sekaligus memulihkan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan kerajaan Barisan Nasional. Bagaikan anjing yang menyalak bukit, salakan nampaknya tidak berupaya meruntuhkan kubu kuat yang dibina oleh Pak Lah sejak lima tahun memegang tampuk pemerintahan. Malah ibarat menahan jerat dipergentingan, pihak pembangkang tidak jemu-jemu mendendangkan lagu-lagu kemenangan yang belum pasti. Di saat-saat UMNO menanggung kesengsaraan, suara-suara yang melaungkan betapa parti yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar 62 tahun yang lalu ini sudah tidak relevan lagi semakin kerap dicanangkan. Umpama menangguk di air yang keruh kelemahan UMNO dipergunakan sebaik-baiknya untuk berlagak hero di mata rakyat. Saya melihat kemenangan yang diraih hasil dari kelemahan pihak lain bukanlah satu bentuk kejayaan yang mutlak dan wajar diberikan pengiktirafan. Seperti dua ekor gajah yang sama-sama berjuang parti-parti yang didominasi oleh orang Melayu ini lebih galak untuk bertelagah sesama sendiri daripada memikirkan rakyat yang semacam tersepit bagaikan pelanduk di atas kerakusan mereka. Kemenangan kepada salah satu daripada parti ini sebenarnya tidak akan membawa makna apa-apa justeru menang pada sorak tetapi sayangnya kampung sudah tergadai.

Bila ada percubaan untuk menyatupadukan orang Melayu di kala itu jugalah terhambur kata-kata penuh prasangka bahawa ianya tidak lebih untuk menyelamatkan parti daripada memartabatkan orang Melayu yang sudah semakin terhakis maruahnya itu. ibarat peha kanan yang dicubit tidak terasa sakitnya lagi oleh peha yang kiri begitulah juga nasib yang diterima oleh institusi raja-raja kini. Peha kiri yang sepatutnya sama-sama menanggung kesakitan peha kanan lebih rela melihat peha kanan terus dicubit oleh tangan-tangan liar daripada cuba untuk menangkisnya. Saya pantas beranggapan demi kuasa dan kedudukan manusia sanggup melakukan apa saja. Justeru bila kuasa sudah di tangan, segala yang diimpi akan menjadi realiti dan yang dicita akan menjadi nyata. Kerana kuasa juga manusia sanggup menanam tebu di tepi bibir, menabur janji-janji manis yang akhirnya tidak mampu pula untuk ditunaikan. Mulalah mencari pelbagai alasan menutup kelemahan yang ada kerana tidak mahu dilabel cakap tidak serupa bikin. Bila tidak tahu menari lantai yang jongkang jongkit itu pula yang menjadi punca angkaranya. Kesalahan orang lain akan ditelanjangkan semahu-mahunya sedangkan kekurangan diri yang ada akan disembunyikan ibarat kuman di seberang laut jelas nampaknya sedangkan gajah besar di depan mata seolah-olah tidak disedari kewujudannya. Lidah memang tidak bertulang apabila seorang yang dahulunya dianggap lawan sudah boleh pula dianggap kawan sekarang. Itulah politik yang dianggap satu bentuk seni yang memungkinkan segala-galanya. Siapa pernah menyangka Dr Mahathir akan bertindak sebegitu nekad meninggalkan parti yang pernah didokong dan diterajuinya malah menjadi platfom kepadanya untuk menggenggam kuasa dan menghimpun harta? Semua orang terkejut namun itulah sandiwara politik yang dilihat semakin menarik, suspen dan penuh tandatanya. Dimanakah penghujungnya dan bagaimana kesudahannya, kita sebagai penonton hanya mampu menunggu dengan penuh debaran akan episod selanjutnya. Cuma harap-harap tidak disudahi dengan adegan yang paling menyayat hati ibarat jong pecah yu yang kenyang!

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...