Skip to main content

Perkahwinan

Saya sampai di rumah kira-kira pukul 9 malam selepas pulang dari perjalanan yang agak meletihkan. Pagi sabtu, saya sekeluarga bertolak ke Felda Air Tawar 5 Kota Tinggi menyertai rombongan pengantin lelaki lebih kurang 10 keluarga. Sepupu saya Firdaus dari Temerloh memilih gadis dari felda ini untuk teman hidupnya.Kami memilih untuk menginap serta bermalam di chalet Desaru. Kesempatan yang ada tidak dibiarkan berlalu- berseronok dan bermandi manda sambil menyaksikan ombak lauk memukul pantai. Hafiz, Haziq dan Lokman paling seronok menghabiskan masa berjam-jam di pantai sambil bermain pasir dan mengutip cengkerang.Minggu depan kami akan berkampung di Temerloh pula. Masa-masa beginilah hendak berjumpa dengan saudara-mara sambil mengimbau cerita-cerita lama.

Di persimpangan masuk ke perkampungan Felda Air Tawar 5, emak tertarik kepada sebuah kedai makan yang menjual roti tempayan. Ajakan emak untuk berhenti dan mencuba rasa roti tersebut tidak mampu saya tolak. Setelah menikmatinya buat pertama kali, ternyata amat menyelerakan, lebih-lebih lagi kuah karinya. Tidak sia-sia mencubanya. Roti Tempayan atau roti naan (Urdu/Parsi: نان, IPA [nɑn]) merupakan sejenis roti tanpa penaik (yis) yang dimasak dengan cara menampalkannya dalam tempayan. Roti yang berbentuk bulat dan nipis ini mempunya beberapa ramuan, ianya termasuk tepung gandum, lelemak, dan rempah. Ia dimakan bersama kuah dal, atau kari dan kadang-kala dihidangkan bersama ayam tanduri.

Tempat yang pernah saya kunjungi 18 tahun yang lalu ini tidak banyak berubah. Sepanjang jalan selepas meninggalkan bandar Kota Tinggi kita akan disapa lebih kurang 10 gugusan Felda bermula dengan Pasak, Air Tawar, Easter, Aping, Waha, Semenchu, Sungai Mas, Keledang, Sening, Tunggal dan Adela sehinggalah ke penghujungnya iaitu Pengerang. Perjalanan yang memenatkan malah membosankan. Mengajar di Adela selama setahun dulu mengajar saya erti kepayahan dan kegetiran berada jauh dari kesenangan hidup di kota. Kini, setelah lebih kurang 20 tahun kedai-kedai di sepanjang jalan tidaklah begitu menarik untuk menggamit orang ramai untuk singgah. Tidak terurus dan tidak tersusun malah tidak nampak bersih pun. Fikir saya, kalaulah kawasan ini diberikan peluang untuk dibangunkan oleh orang China, misalnya tidak perlu tunggu masa yang begitu lama untuk melihat kepesatan pembangunannya. Tidak ada rumah-rumah kedai seperti yang biasa kita lihat di kawasan yang didominasi oleh orang China. Bukan untuk menafikan kemampuan orang kita, namun begitulah hakikatnya.

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...