Skip to main content

Kakatua

Artikel ini disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini.

Isu jumlah subjek yang perlu diambil dalam SPM dibincang begitu hangat dan tidak kurang membangkitkan reaksi yang pelbagai. Cetusan Menteri Pelajaran baru ini walau apa pun motifnya, dilihat mampu mengubah senario sistem pendidikan negara yang begitu menjurus kepada peperiksaan dan melahirkan klon pelajar "kakaktua". Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita melihat semacam satu kecenderungan di kalangan setengah pelajar berlumba-lumba mengambil begitu banyak subjek dalam peperiksaan khususnya SPM.

Bermula dengan Amalina yang menggegarkan dunia pendidikan negara apabila berjaya meraih 17A1 dalam SPM 2004 dan yang paling terbaharu kejayaan paling cemerlang Nik NurMadihah anak nelayan miskin dari Kelantan merangkul 20A1 di ikuti pula dengan sanjungan dan pujian melangit serta tawaran yang menggunung, masyarakat mula membuat persepsi bahawa pelajar yang terbaik ialah mereka yang mampu mengumpul sebanyak-banyak A dalam peperiksaan. Memperolehi sekadar 5A atau 7 A apatah lagi 1 A tidak lagi dilihat gah berbanding beberapa tahun dulu - ketika pelajar cukup berpuas hati dengan mengambil setakat 7 atau 8 subjek dalam SPM.

Adakah memperolehi 15 A dan 20A itu mewajarkan bahawa pelajar itu lebih cemerlang berbanding dengan pelajar yang sekadar mampu meraih 1A? Realitinya tidak begitu. Berdasarkan maklumbalas yang diperolehi daripada IPTA, IPTS dan juga kolej-kolej swasta, begitu ramai pelajar yang cemerlang dalam kertas sebenarnya gagal mempamerkan kemampuan setimpal dengan apa yang mereka perolehi. Dalam subjek-subjek teknikal misalnya, mereka terpaksa bertungkus lumus di peringkat tahun pertama pengajian mereka sebelum benar-benar dapat menguasai subjek yang ditawarkan kepada mereka. Sesuatu yang amat kita takuti berlaku selama ini ternyata berlaku. Lantas apalah sangat 15A yang disanjung-sanjung dalam SPM itu kalau ia sebenarnya sekadar A yang tidak menyumbang apa-apa pun dalam pengembangan minda pelajar. Tidak hairanlah kalau sistem pendidikan kita sering dimomok-momokkan sebagai satu sistem pendidikan yang cuma berjaya melahirkan spesis kakatua saban tahun. Secara logiknya, dengan ratusan subjek yang telah di pelajari dan dicerna selama enam tahun di sekolah rendah, kemudiannya lima tahun lagi di sekolah menengah di tambah lagi beberapa tahun di pusat pengajian tinggi, seorang lepasan universiti sepatutnya boleh bertingkah tutur penuh yakin di depan panel penemuduga, namun realitinya tidak begitu. Selalu kita dengar graduan gagal mempamerkan kehebatan mereka setanding dengan kehebatan mereka mengumpulkan sedemikian banyak bilangan A di kertas. Justeru itu sejak dari dulu lagi saya selalu percaya gah dikertas tidak semestinya gah di hamparan. Ketaksuban kita dalam memberi penekanan kepada belajar untuk lulus dan cemerlang dalam peperiksaan mengalpakan kita kepada keperluan yang lebih penting - pembinaan personaliti, penjanaan dan pembentukan minda pelajar supaya mampu berfikir secara kritis. Kita sebok menyumbatkan sekian banyak input dan data dalam minda pelajar untuk dihafal yang pada akhirnya menghasilkan pelajar yang tidak lebih seperti seekor kakaktua yang cukup terlatih.

Pastinya belum cukup terlambat untuk menilai semula dan meletakkan sistem pendidikan kita di atas landasan yang betul dan mengemudinya ke arah satu hala tuju yang bukan sahaja berupaya menghasilkan klon pelajar yang bijak berilmu tetapi juga mampu menjana minda selain berakhlak mulia dalam mendepani tekanan dan cabaran yang semakin kompleks masyarakat moden kini.

Tujuan dan matlamat pendidikan itu sendiri perlu difahami dengan jelas dan seharusnya di lihat dalam konteks pembinaan pelajar yang diharapkan dan tentunya seperti yang dihasratkan secara jelas dalam Falsafah Pendididikan Negara iaitu penekanan kepada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pendidikan tidak lagi wajar dilihat dari sudut yang sempit - subjek apa yang perlu diajar dan berapa banyak subjek yang perlu di ambil oleh pelajar untuk peperiksaan. Sebaliknya pendidikan itu sepatutnya bertujuan untuk mendidik dan menghasilkan manusia yang sempurna.

Cukup-cukuplah mendewa-dewakan seorang dua pelajar yang merangkul sederet A saban tahun SPM diumumkan, sebaliknya marilah kita sama-sama menggembleng tenaga untuk melahirkan pelajar-pelajar yang dapat kita pertaruhkan tanggungjawab untuk mewarisi sebuah negara bangsa masa depan. Tidak ada gunanya kalau kokok berderai-derai, namun ekor bergelumang tahi!

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus