Skip to main content

Siswi

Insiden siswi UiTM Shah Alam yang dikatakan dicabul dalam bilik mandi lewat tahun lalu menarik perhatian umum apabila siswi terbabit memfailkan samannya kepada UiTM baru-baru ini kerana didakwa cuai. Pengurusan UiTM dipersalahkan bukan sahaja kerana tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya untuk mengelakkan kejadian itu daripada berlaku malah turut ditempelak kerana gagal memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut. Tindakan menuding jari dengan meletakkan UiTM sebagai pihak yang bersalah dilihat amat tidak adil sama sekali.

UiTM tentunya mempunyai sebabnya sendiri untuk tidak mendedahkan insiden ini kepada umum- soal reputasi pastinya. Mencari jalan keluar dengan menghebahkannya serta mengambil tindakan mahkamah bukanlah tindakan yang yang bijak dalam menyuarakan rasa tidak puas hati. Ibarat menahan jerat di pergentingan, pihak-pihak yang berkepentingan akan sentiasa mengintai peluang untuk memburukkan UiTM sebuah institusi pengajian tinggi yang sinonim dengan survival orang "Melayu". Kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan UiTM buat tidak kesah dan secara terbuka meletakkan kesalahan itu di bahu Naib Canselornya.

Lontaran dari Ustaz Kamaruzzaman lewat emailnya bertajuk "Salah Siapa" beberapa hari yang lalu bingkas disahut beberapa orang warga UiTM yang tentunya terasa tempiasnya justeru kampus yang kelihatannya tenang di permukaan ini turut diragui berkocak dan bergelora di dasarnya. Saya bersetuju dengan pandangan Ustaz yang sudah bertahun-tahun bergaul rapat dengan para pelajar dan pastinya amat masak dengan kerenah dan muslihat mereka bahawa dalam banyak keadaan siswi itu sendiri yang berhak dipersalahkan. Kadangkala penampilan diri dan pembawaan gaya siswi itu sendiri turut menyumbang kepada insiden-insiden begini. Saya cukup terkejut dengan kenyataan bahawa ada kalangan siswi yang menjebak diri mereka sendiri dengan "menyeludup" masuk "siswa berpakaian hitam " ke dalam bilik mereka.

Pengalaman saya sendiri terserempak dengan seorang siswi tidak berapa lama dahulu memberi mesej yang jelas kepada saya bahawa berlakunya "double standard" di kalangan setengah pelajar dalam menerimapakai peraturan yang dikenakan kepada mereka khususnya yang melibatkan soal pakaian. Di depan mata dengan disaksikan oleh isteri saya dan masih segar di ingatan, seorang pelajar pantas bertukar kulit ibarat sesumpah yang berubah warna mengikut alam sekellingnya. Pantas saya menyimpulkan tekanan dari luar tidak cukup kuat berbanding keinsafan dari dalam diri untuk membina peribadi tulin dan sejati serta kental dan kedap godaan. Bertudung litup bukan kerana ikut-ikutan tetapi perlu terbit dari hati yang suci bersih tanpa sebarang paksaan. Acapkali saya diberikan jawapan begini bila ditanya kepada siswi yang dalam banyak hari yang saya temuinya di kelas tidak bertudung tetapi bertudung pula dihari itu- "Hari ini ada kelas CITU". Cukup betulkah niat mereka untuk bertudung begitu? Kalau begini keadaannya, kita cuma mampu melahirkan spesis amfibian di kalangan siswi kita dan bukannya muslimah solehah yang kita hasratkan. Saya tidak langsung pesimistik apatah lagi ingin menafikan segala program pembinaan kerohanian yang kita rencanakan untuk mereka. Kita boleh tersenyum bangga melihat sekian ramai yang berjaya dihimpunkan di depan ikon berjiwa dan berperwatakan Muslim seperti Ustaz Akhil tidak lama dulu. Kita mencapai matlamatnya tetapi setakat itu ajalah- "form" tetapi "substance"nya bagaimana.

UiTM Johor dikira cukup bertuah kerana "dianugerahkan" seorang peneraju yang berjiwa Islam dan mempunyai niat cukup suci untuk mengemudi anak-anak kapalnya menggapai keredaan Ilahi. Semua pelajar mengakuinya. Usaha beliau terpapar jelas di depan mata dengan indikatornya. Tentulah mustahil untuk melahirkan siswa siswi yang langsung tiada cacat celanya, namun usaha yang dibuat untuk mewujudkan atmosfera Islam di kampus lambat laun akan membuahkan hasil juga nanti.

Pena Tumpul - Tersentak bila PM Yusri mengeluarkan ungkapan "Kalau bapa kencing kencing berdiri, anak kencing berlari" dalam responnya kepada isu ini

Comments

kamarularifin said…
susah sikit comment masalah ini...ia bergantung pada individu tersebut...asuhan dan didikan dari rumah amat penting tetapi itu juga bukan satu jaminan...personaliti ibubapa juga amat penting...ramai ibubapa yang hanya mementingkan diri sahaja....kalau bercakap pasal anak2 semuanya tahu dan mengaku bertanggungjawab tetapi sebaliknya adalah berbeza...jadi sebagai ibubapa kita kena berfikir samada kita sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ibubapa...
Kamil said…
Setuju dengan pendapat En kamarulArifin tetapi masalahnya sekarang terlalu banyak cabaran dan dugaan yang siswi hadapi.Masing-masing terikut dengan trend zaman sekarang.Memang tidak dinafikan ibu bapa memainkan peranan penting tapi masalahnya anak-anak tewas dengan dugaan tersebut apabila telah bercampur.Yang pentingnya perketatkan peraturan berpakaian di institusi pengajian tinggi.Rasa sejuk mata memandang melihat siswi memakai pakaian yang sopan ketika berada di IPTA.Kadang-kadang anak-anak memakai pakaian yang menutup aurat semasa di depan ibu bapa di belakang ........kita tidak tahu.
kamarularifin said…
betul tu...anak2 sekarang sangat pandai belakon...tapi setidak2nya sebagai ibubapa kena berusaha sebaik mungkin...rasanya kerajaan kena perketatkan peraturan berpakaian di IPTA...jadikan pakaian menutup aurat bagi pelajar2 Islam itu sebagai sesuatu yang wajib...kerajaan juga kena bertanggungjawab dalam isu ini...jangan hanya pandai menuding jari bila terjadi sesuatu musibah...sebagai pensyarah mungkin saudara boleh memberi cadangan secara berkelompok agar ianya di beri perhatian...

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...